KUALA LUMPUR: “Kami sudah bersedia.”
Demikian kenyataan Datuk Norman Abdul Halim berhubung konsert genKRU The Finale One More Time yang bakal berlangsung November ini.
Kata Norman, menerusi konsert tersebut, KRU ingin melunaskan hasrat peminat yang sebelum ini tidak berkesempatan menonton konsert mereka di Axiata Arena.
“Ramai yang tidak dapat membeli tiket sebelum ini, justeru terlepas peluang menonton konsert kami Mei lalu. Baiklah, kami buat sekali lagi.
“Tapi kali ini di lokasi terbuka dan lebih besar berbanding Axiata. Skala persembahan juga lebih besar dan berlainan.
“Harapnya lebih ramai peminat dapat hadir ke konsert ini November nanti. Kami nak cipta sejarah dengan mereka,” katanya dalam sidang media petang tadi.
GenKRU The Finale One More Time yang dianjurkan ICON Entertainment bakal menggegarkan Stadium Hoki Bukit Jalil 22 November ini.
Edry Abdul Halim dalam pada itu memaklumkan KRU berhasrat menghadiahkan persembahan berlainan pada konsert itu nanti.
“Kami mahu berikan pengalaman berbeza berbanding sebelum ini. Lagu yang akan diumumkan nanti, kali ini kebanyakannya juga berbeza. Tapi lagu hits tetap akan dipersembahkan.
“Kami ada urusan yang belum selesai. Jadi pada konsert ini, kami akan berikan persembahan yang terbaik,” kongsinya.
Datuk Yusry Abdul Halim pula meluahkan rasa terharu terhadap sambutan peminat terhadap konsert mereka yang berlangsung Mei lalu.
“Untuk genKRU sebelum ini, kami tak pernah rancang sehingga lima konsert. Dan sekarang, ada pula yang keenam.
“Kamu akan lunaskan tanggungjawab kepada peminat dan perbaiki kekurangan pada konsert sebelum ini,” kongsinya.
Sementara itu, penganjur, Iman Tang berkata pihaknya enggan menyajikan persembahan yang berulang justeru akan menggunakan kesemua idea dan kreativiti bagi merealisasikan konsert tersebut.
“Kami akan naik taraf mutu persembahan, sajikan konsep baharu. Saya juga bosan melihat persembahan yang sama.
“Begitu juga KRU yang dahagakan idea baharu. Jadi kita akan persembahkan semua idea, tambah baik mutu persembahan,” jelasnya.
Tiket genKRU The Finale One More Time berharga antara RM188 hingga RM558 akan dijual pada 3 Oktober 2025 (Jumaat).
Pembelian boleh dibuat menerusi https://www.ticket2u.com.my/genkruFinale bermula 11 pagi. – UTUSAN