KUANTAN: Keselamatan dan pertahanan negara bukanlah tanggungjawab yang boleh diletakkan di bahu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) semata-mata, sebaliknya ia memerlukan kerjasama menyeluruh daripada seluruh kerajaan serta penglibatan aktif masyarakat bagi memastikan negara terus berada dalam keadaan aman, selamat serta stabil.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kekuatan anggota ATM sahaja tidak memadai untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman keselamatan dalam suasana dunia yang tidak menentu, selain perkembangan teknologi dan geopolitik yang berubah-ubah.
Katanya, agenda pertahanan negara perlu dipersetujui dan didukung secara bersama oleh semua lapisan masyarakat bagi menjayakan konsep melibatkan kerjasama antara semua agensi kerajaan dan seluruh lapisan masyarakat (WOGOS) dalam soal keselamatan.
“Selain ancaman tradisional, kita berdepan ancaman bukan tradisional dan pergolakan yang boleh menimbulkan cabaran pada masa depan seperti isu Laut China Selatan.
“Perkara itu telah digariskan dalam Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan, selain cabaran berkaitan penggunaan teknologi ketenteraan yang semakin canggih,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Civil-Military Cooperation (CIMIC) sempena Hari Ulang Tahun ATM ke-92 di Pangkalan Udara Kuantan, hari ini. – UTUSAN










