KLIA Aerotrain beroperasi semula 24 jam selepas penyelenggaraan berjadual

KLIA Aerotrain beroperasi semula 24 jam selepas penyelenggaraan berjadual

PERKHIDMATAN Aerotrain di KLIA kembali beroperasi sepenuhnya selama 24 jam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi sepenuhnya selama 24 jam sehari selepas kerja-kerja penyelenggaraan berjadual berjaya diselesaikan pada 31 Ogos lalu.

Kerja-kerja penyelenggaraan yang dilaksanakan selama dua minggu bermula 18 Ogos itu dijalankan antara pukul 12 tengah malam hingga 5 pagi bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang tidak terganggu.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, sepanjang tempoh tersebut, perkhidmatan bas pengantara disediakan bagi menghubungkan Bangunan Terminal Utama dengan Bangunan Satelit, sekali gus memastikan keselesaan penumpang terpelihara.

Selain itu, katanya, kontraktor Aerotrain, Alstom, turut menjalankan ujian perisian isyarat baharu sepanjang tempoh penyelenggaraan, yang berjaya dilaksanakan tanpa sebarang isu, sekali gus memperkukuhkan aspek keselamatan dan keberkesanan operasi sistem berkenaan.

“Aerotrain adalah penghubung utama yang penting di KLIA dan kami komited memastikan ia sentiasa beroperasi dengan baik demi keselesaan penumpang.

“Kejayaan penyelenggaraan ini mencerminkan fokus kami terhadap kecemerlangan perkhidmatan serta pengalaman perjalanan yang lancar di lapangan terbang.

“Kami akan terus melabur dalam infrastruktur yang menawarkan kebolehpercayaan, keselamatan dan keselesaan lebih tinggi kepada semua pengembara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan gesaan beberapa pihak mahukan Kementerian Pengangkutan menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA yang didakwa mengalami sekurang-kurangnya lima gangguan sejak beroperasi semula pada 1 Julai lalu. –

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke mengesahkan gangguan perkhidmatan itu bukan disebabkan kerosakan mekanikal, sebaliknya hanya gangguan teknikal yang berjaya diselesaikan dalam tempoh singkat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN