Nama Sherry Alhadad bukan lagi asing. Hampir dua dekad mengabdikan diri sebagai pengacara dan pelakon, Sherry berjaya menawan hati penonton dengan keperibadian ceria, lawak bersahaja, dan kebijaksanaannya mengendalikan pelbagai acara berprestij.
Namun, siapa sangka di sebalik sorotan lampu dan gelak tawa yang dihidangkan kepada khalayak, ada sisi lain yang jarang sekali diketahui ramai, sisi seorang wanita biasa, yang membawanya kepada momen ‘hati koyak’ gara-gara kritikan dan perkara seumpamanya.
Empunya badan mengakui, sepanjang perjalanan hampir 20 tahun dalam industri seni, dia tidak pernah terlepas daripada berdepan dengan kritikan, komen pedas, dan kata-kata negatif daripada masyarakat.
Kata Sherry, barangkali itulah harga yang harus dibayar apabila bergelar seorang selebriti dan hal itu harus ditelannya meski pahit bagaimanapun ia.
“Waima apa jua kesilapan, walau sekecil mana pun, tetap akan ada yang memandang serong atau menghakimi. Saya sedar, sebagai figura awam, setiap gerak-geri diperhatikan, setiap tindakan harus dijaga.
“Orang nampak kita happy, suka buat jenaka, tapi hakikatnya, ada masa saya pun pernah menangis seorang. Itu masalah orang yang nampak ceria, di luar ketawa, tapi balik rumah dibelenggu emosi.
“Tetapi mujurlah saya ini bukan jenis suka luah perasaan kepada orang lain, termasuk keluarga. Kalau saya ada masalah, saya pendam sendiri. Dengan orang rapat pun jarang saya cerita,”katanya ketika berbual dengan saya di studio Media Mulia, baru-baru ini.
Walaupun begitu, anak jati Sarawak ini tidak menafikan bahawa sikapnya yang ceria banyak membantu dirinya mengawal emosi.
“Saya memang seorang people pleaser, suka bahagiakan orang. Jadi penderitaan saya simpan sendiri. Biarlah saya saja yang tahu, kerana saya rasa itu lebih baik.
“Saya berpegang kepada prinsip, apa-apa pun kita perlu kelilingi diri dengan orang positif supaya kita dapat aura yang positif.
“Kalau kita dikelilingi orang yang suka mencucuk, kita akan mudah terikut emosi, jadi bengang, marah, sedih. Tapi kalau kita ada orang yang tenang, mereka akan cakap, ‘tak apalah, okey dan fikir dari sudut berbeza. Mungkin ada perkara yang boleh kita perbaiki dari segala kritikan atau teguran orang itu,”katanya.
Walaupun mengaku dirinya seorang yang sensitif dan emosional, Sherry tidak membiarkan dirinya tergolong sebagai wanita yang lemah.
“Saya seorang wanita berbintang Scorpio, jadi bila pendam terlalu lama, orang seperti saya ini kalau sekali meletup, habislah.
“Tapi selagi boleh tahan, saya akan tahan. Kalau saya menangis pun itu biasa. Adakala tengok video sedih di TikTok pun boleh tiba-tiba menangis. Itu normal, manusia ada perasaan bukan?” katanya.
Memasang fikiran yang positif, Sherry berkata, dia sebolehnya menjadikan setiap kritikan orang tentang apa sahaja mengenai dirinya sebagai satu teladan dan pengajaran.
“Jangan merajuk, jangan terlalu negatif. Ambil masa untuk fikir dan betulkan diri. Setiap orang ada cara sendiri untuk hadapi masalah. Yang penting, jangan biar emosi menguasai kita, itu cara saya tangani hal-hal seperti ini,”ujarnya.

Mengajaknya berbicara mengenai dunia pengacaraan, Sherry tidak menolak, ramai menganggap tugas seorang pengacara hanya sekadar bercakap di hadapan kamera dan menghiburkan penonton.
Namun, di sebalik cahaya lampu dan sorakan penonton, wujud tanggungjawab besar yang perlu dipikul.
Bagi Sherry, peranan pengacara bukan sekadar melontarkan kata-kata, tetapi menjadi pengawal haluan sesebuah program.
“Seorang pengacara ibarat nakhoda kapal. Kalau nakhoda tersasar haluan, kapal boleh tenggelam. Begitu juga pengacara, kalau kita gagal kawal suasana, seluruh rancangan boleh rosak,” jelas Sherry.
Bagi wanita berusia 41 tahun ini, seorang pengacara harus menjadi penghubung antara produksi dan penonton.
Apa sahaja masalah di belakang tabir, sama ada kesilapan teknikal atau kesibukan kru, penonton tidak perlu tahu. Ini kerana apa yang mereka mahu lihat hanyalah sebuah persembahan yang lancar dan menghiburkan.
“Energi pengacara mesti tinggi dari mula sampai habis rancangan. Tidak kira apa yang berlaku, kita kena senyum, kena yakin.
“Penonton tidak boleh rasa tertekan dengan masalah belakang tabir,”ujarnya.
Bercakap tentang pengacaraan secara langsung atau live, Sherry mengakui ia sebenarnya mempunyai cabaran tersendiri.
Berbeza dengan rakaman yang boleh diulang, siaran langsung tidak memberi ruang untuk kesilapan.
“Setiap perkataan dan perbuatan kita dikira. Kadang-kadang niat kita hanya hendak hiburkan, tapi orang salah faham.
“Kalau terlalu serius, orang kata bosan. Kalau bergurau, orang kata tidak sensitif. Kita kena bijak seimbangkan hiburan dan sensitiviti penonton. Jadi, saya latih diri untuk berfikir sebelum bercakap.
“Kalau saya cakap macam ini, adakah akan menyinggung perasaan orang? Tetapi dalam pada kita berhati-hati pun tetap akan ada pihak yang terasa jika sesuatu hal itu tidak dipersetujui mereka,”katanya.
Bagaimanapun, kata Sherry, apa jua yang berlaku, dia sentiasa akan memegang prinsip yang jelas iaitu jangan menyentuh mengenai isu-isu sensitif seperti agama dan kaum.
Bagi Sherry, perkara ini menjadi benteng yang memastikan dirinya kekal berpijak di bumi nyata.
“Bab sensitiviti harus dijaga. Tidak boleh sembarangan bercakap walau mungkin ketika mengacara itu kita menganggap ia gurauan.
“Mungkin akan ada pihak yang ingat okey kalau buat begitu. Tetapi ia tidak okey sebenarnya. Kalau terlalu kejar perhatian, nanti bila orang tak peduli lagi, kita sendiri yang sakit.
“Buat kerja dengan ikhlas. Kalau viral, biar ia berlaku secara semula jadi, bukan kerana kita sengaja buat kontroversi.
“Saya selalu tanya diri , apa tujuan rancangan ini? Apa peranan saya sebagai hos? Itu motivasi sebenar saya,”katanya.
PILIHAN KEDUA
Mengulas mengenai kedudukannya dalam industri hiburan, Sherry tidak menafikan bahawa ada ketika dia berasa juga pernah melalui momen di mana dia bukanlah pilihan utama stesen TV.
Berada di posisi ‘pilihan kedua’, ramai orang mungkin akan cepat berasa kecewa atau putus asa jika sering dianggap bukan yang utama.
Namun, bagi Sherry, perspektif itu bukan sesuatu yang perlu disesali.
“Dalam hidup ini, memang kadang-kadang kita rasa seperti pilihan kedua. Tapi saya belajar, bila kita rasa begitu, itu bukan alasan untuk berhenti berusaha atau merendah diri.
“Sebaliknya, ia boleh dijadikan motivasi untuk buktikan kemampuan kita. Kalau orang pandang rendah, saya akan tunjukkan bahawa saya boleh buat lebih baik, lebih kuat, dan lebih konsisten daripada yang mereka sangka,” jelasnya.
Sherry juga menekankan bahawa menjadi pilihan kedua bukan bermakna gagal.
“Kadang-kadang, pilihan pertama mungkin tidak melihat potensi sebenar kita. Pilihan kedua memberi kita ruang untuk belajar, memperbaiki diri, dan membina pengalaman. Ia mengajar kita kesabaran, ketabahan, dan bagaimana untuk menghargai setiap peluang yang diberikan.
“Malah, apabila kita berjaya menonjol dari posisi itu, kepuasan dan pencapaian itu terasa lebih manis,” katanya.
Bagi Sherry, rahsia menghadapi rasa ‘pilihan kedua’ adalah memfokuskan diri pada usaha sendiri, bukan pada penilaian orang lain.
“Kalau kita terlalu sibuk fikir orang pilih siapa, kita akan hilang fokus. Tapi bila kita fokus pada kerja kita, pada kualiti yang kita beri, pada niat dan prinsip kita, lama-lama orang akan mula perasan kemampuan kita.
“Dan itu lebih berbaloi daripada hanya menjadi pilihan pertama yang dicari kerana nama atau populariti,” tambahnya.