SUNGAI PETANI: Kejadian buli dan pergaduhan sesama pelajar amat membimbangkan dan perlu dihentikan segera melalui kesedaran dan pemahaman tentang kepentingan menjaga kesihatan mental dan emosi dalam kalangan remaja.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pembangunan Murid Jabatan pendidikan Kedah, Mohd. Kamal Hashim berkata, membina kesedaran untuk mengurus emosi dengan bijak akan dapat menjauhi perlakuan negatif di sekolah.
“Pendedahan kepada remaja berkaitan perlakuan negatif dan kesan buruknya kepada diri, keluarga dan masyarakat perlu diterap sepanjang masa bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua situasi.
“Malah punca utama perlakuan negatif itu perlu dicari segera untuk memudahkan mereka mengatasinya agar kedua-dua kejadian itu dapat dihentikan segera,” katanya pada majlis penutup Karnival Minda Sihat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bedong di sini.
Karnival anjuran Unit Bimbingan dan Kaunseling SMK Bedong itu melibatkan 550 pelajar dari 23 buah sekolah seluruh Kedah sebagai salah satu inisiatif memberi kesedaran, pendidikan dan platform interaktif bagi pelajar.
Selain mendengar ceramah daripada panel jemputan berkaitan kesan terhadap kejadian buli dan gaduh, peserta turut didedahkan dengan cara dan tingkah laku dalam pergaulan untuk mencegah perlakuan negatif terutamanya ketika berada di sekolah.
Malah mereka turut berpeluang bertanya soalan melalui forum berkaitan hukuman dan kesannya kepada diri dan keluarga yang membabitkan agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara Malaysia, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Kesihatan Negeri.
Semua peserta turut dibawa melawat ruang galeri yang menempatkan reruai PDRM dan Jabatan Penjara serta melihat sendiri kejadian buli yang dirakam dan dipamer oleh agensi penguatkuasaan itu termasuk hukuman yang menanti pesalah kes buli jika disabitkan kesalahan. -UTUSAN