Keselamatan LNG Bintulu diperketat selepas terima ugutan

Keselamatan LNG Bintulu diperketat selepas terima ugutan -PDRM

MOHD. KHALID ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terhadap semua fasiliti Liquefied Natural Gas (LNG) di sekitar Bintulu untuk memperketatkan keselamatan ekoran terdapat pegawai Petronas menerima mesej ugutan melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, pegawai Petronas yang bertugas di Bintulu mendakwa ada menerima beberapa mesej ugutan daripada individu tidak dikenali. 

“Terdapat pegawai di Petronas menerima beberapa ugutan daripada individu yang tidak dikenali melalui SMS dan teks, jadi setelah beberapa kali menerima ugutan tersebut dia membuat laporan polis.

“Justeru kita menasihati semua kepada pihak Petronas untuk mempertingkatkan keselamatan di fasiliti masing-masing,” katanya selepas merasmikan Program Derma Darah Sempena Sambutan Hari Polis ke-218 di Bukit Aman, hari ini.

Susulan itu, menurutnya, pihak polis di semua kontinjen-kontinjen turut membantu bagi memastikan fasiliti-fasiliti Petronas dalam keadaan baik. 

“Pihak polis di semua kontinjen-kontinjen juga membantu selain perkara-perkara yang berkaitan dapat kita selenggarakan dengan baik dan sempurna demi keselamatan negara,” katanya. 

Media semalam melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan amaran bahawa pihaknya telah menerima pemakluman berhubung ancaman keselamatan terhadap fasiliti-fasiliti Gas LNG di dalam negara, khususnya di Bintulu.

Menerusi satu kenyataan media, MKN telah mengarahkan semua fasiliti LNG yang beroperasi di sekitar Bintulu untuk memperketatkan kawalan keselamatan serta-merta buat sementara waktu.

“Ini untuk membolehkan pihak keselamatan dan pihak bertanggungjawab melaksanakan siasatan segera terhadap ancaman tersebut,” katanya.

MKN turut mengingatkan orang ramai agar tidak menimbulkan sebarang spekulasi dan perkembangan situasi ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Dalam kenyataan itu, MKN meminta agensi-agensi keselamatan negara untuk kekal bersedia berdepan dengan kemungkinan dan telah mengambil langkah-langkah kawalan terhadapan ancaman keselamatan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN