Kenyataan Tun Faisal jejas hubungan Perikatan Nasional

Kenyataan Tun Faisal jejas hubungan Perikatan Nasional

Perikatan Nasional
Abdul Razak Khamis
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz yang seolah-olah menggambarkan Bersatu mahu menjadi ‘abang besar’ dalam Perikatan Nasional (PN) boleh menjejaskan hubungan baik antara parti komponen.

Ketua Bahagian Bersatu Pendang, Abdul Razak Khamis berkata, beliau bimbang kenyataan berkenaan melukakan hati rakan komponen khususnya Pas yang selama ini menjadi parti paling rapat Bersatu dalam PN.

“Saya bergelumang dengan rakan-rakan komponen setiap hari terutama Pas. Saya harap mereka tidak berkecil hati kerana bagi saya semua komen itu hanyalah pandangan peribadi Tun Faisal sahaja.

“Terdapat beberapa komen beliau yang membayangkan seolah-olah Bersatu mahu menjadi ‘abang besar’ dalam PN. Komen-komen sebegini tidak membantu usaha memperkukuh parti dan hubungan sesama komponen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, usul yang pernah dibawa Tun Faisal dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) juga tidak pernah dibentangkan dalam mana-mana mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.

Beliau berkata, sebarang kenyataan berbentuk ugutan kepada sesama ahli tidak sepatutnya dibuat secara terbuka kerana ia mencetuskan persepsi negatif terhadap parti.

Katanya, isu dalaman Bersatu lebih wajar dibincangkan secara tertutup mengikut nasihat Presiden dan Timbalan Presiden agar ahli boleh saling bermaafan.

“Sebagai orang lama dalam parti, saya berpandangan lebih baik isu dalaman dikekalkan sebagai perbincangan keluarga. Sokonglah nasihat Presiden dan Timbalan Presiden supaya kita bertaut dan saling bermaafan.

“Jangan pula kerana mulut seorang yang celupar, rakan-rakan komponen menganggap Bersatu sudah bongkak dan takbur,” katanya.

Abdul Razak mengingatkan Tun Faisal bahawa jawatan disandangnya hanyalah lantikan, malah beliau juga tidak melalui pahit getir perjuangan sejak awal penubuhan parti.
Katanya, Tun Faisal perlu lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan agar tidak menjejaskan keutuhan Bersatu serta hubungan erat dalam PN.

“Di mana kamu ketika kami dihina kerana membuka booth cari ahli di pasar malam? Di mana kamu ketika kami bergolok bergadai menubuhkan cawangan dan bahagian terpaksa menjual aset demi menghidupkan parti?

“Pada masa itu kamu masih bersuka ria dalam UMNO dan menghina kami. Ingatlah jawatan yang kamu pegang hanyalah lantikan, kamu tidak sehebat yang kamu rasa,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×