Kemudahan Zoo Negara pikat pengunjung - Utusan Malaysia

Kemudahan Zoo Negara pikat pengunjung

ORANG ramai meluangkan masa cuti umum Hari Malaysia dengan berkunjung ke Zoo Negara bersama keluarga. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Zoo Negara menjadi destinasi pilihan utama keluarga sempena cuti sekolah apabila rata-rata pengunjung berpuas hati dengan harga tiket berpatutan serta kemudahan mesra kanak-kanak yang ditawarkan.

Beberapa pengunjung dari sekitar Lembah Klang mengakui, kunjungan kali ini lebih selesa kerana kemudahan seperti tram dan promosi tiket khas hari lahir menarik perhatian orang ramai.

Suri rumah dari Selayang yang ingin dikenali sebagai Effa, 34, berkata, buat pertama kali dia membawa anak-anak selepas sekian lama tidak menjejakkan kaki ke Zoo Negara.

Katanya, membawa kereta sorong bayi amat mudah kerana jalannya yang mesra keluarga, sekali gus mengurangkan beban ketika melihat haiwan.

“Dulu masa kecil pernah datang, tapi sekarang lain sebab bawa anak. Haiwan pun makin banyak, jadi lebih seronok untuk budak-budak,” katanya.

Jurutera dari Seri Petaling, Nor Azwan, 34, berkata, Zoo Negara kini menawarkan pengalaman berbeza berbanding ketika kunjungannya pada 2018, termasuk adanya kemudahan tram yang lebih mesra pengunjung.

Dia turut membandingkan dengan Zoo Taiping yang dikunjunginya baru-baru ini dan mendapati, Zoo Negara lebih menonjol kerana menampilkan banyak spesies termasuk singa putih serta pelbagai jenis harimau.

“Zoo Negara memang sesuai untuk bawa keluarga. Harga tiket pun berpatutan, tak membebankan bila datang ramai-ramai,” katanya.

Bagi Azirul Farizi, 35, dari Putrajaya, kehadiran kali ini bukan sahaja untuk menggembirakan anak-anak, malah turut dijadikan lokasi sambutan hari lahirnya apabila mendapat tiket percuma hasil tempahan dalam talian.

Katanya, sambutan hari lahir di zoo memberi pengalaman berbeza kerana dapat diraikan dalam suasana mesra alam bersama haiwan-haiwan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN