PETALING JAYA: Usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dalam melibatkan pempengaruh media sosial tempatan dan antarabangsa dalam kempen pelancongan negara sebagai strategi berimpak tinggi, khususnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Menerusi Penganjuran All Star Influencers Fam Trip 2025, Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, program itu sudah menjana lebih 620 juta tontonan di pelbagai platform media sosial, sekali gus mengatasi pencapaian tahun lalu yang mencatatkan 518 juta tontonan sepanjang tahun.
“Dalam era digital, pempengaruh memiliki pengaruh besar dalam mempromosikan destinasi pelancongan.
“Kempen ini bukan sahaja memperkukuh jenama Malaysia di peringkat global, malah memberi pulangan ekonomi yang signifikan kepada industri pelancongan negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Penganjuran All Star Influencers Fam Trip 2025 yang berlangsung di Pulau Pinang dari 17 hingga 20 September lalu, berjaya mempamerkan keunikan Malaysia kepada dunia secara digital.
Program itu membawa seramai 30 pempengaruh terkemuka dari 12 negara antaranya Indonesia, Thailand, Vietnam, Filipina, Jepun, Korea, Pakistan, India, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Singapura dan Malaysia menjejaki destinasi pelancongan tempatan yang unik serta menarik.
Mengulas lanjut, King Sing turut berkata, angka tersebut jelas membuktikan kekuatan promosi digital dalam melonjakkan keterlihatan Malaysia di pentas antarabangsa.
Malah, katanya, ia dijangka menyumbang pulangan ekonomi mencecah RM3.7 bilion kepada negara.
“Pembabitan pempengaruh terutama menerusi program seperti ASIA2025 akan menjadi pemacu penting untuk mengembalikan kegemilangan sektor pelancongan negara,” tambah beliau.
Sejak bermula Julai lalu, siri jelajah ASIA2025 telah menyinggah ke Johor, Pahang, Melaka, Selangor dan Langkawi sebelum Pulau Pinang menjadi destinasi tumpuan minggu ini.
Antara lokasi yang diterokai termasuk Rumah P. Ramlee, Bukit Bendera, Armenian Street serta menikmati hidangan ikonik Nasi Kandar.
Program jelajah ASIA2025 akan berakhir di Sabah pada Oktober ini, sebagai penutup yang bakal menampilkan keindahan alam semula jadi dan kepelbagaian budaya Borneo.-UTUSAN