Tanggungjawab syarikat pastikan lori dalam keadaan baik

Tanggungjawab syarikat pastikan lori dalam keadaan baik

ANTHONY Loke Siew Fook bercakap dalam sidang akhbar sempena Majlis Perasmian TBG di Gombak, Selangor. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOMBAK: Syarikat pengangkutan perlu bertanggungjawab memastikan kenderaan masing-masing sentiasa diselenggara dengan baik setiap masa bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, syarikat tidak boleh hanya bergantung kepada pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) yang diwajibkan setiap enam bulan, sebaliknya perlu melakukan pemeriksaan berkala secara berterusan.

“Dalam kes ini, jelas sistem brek lori gagal berfungsi sehingga merempuh plaza tol dan beberapa kenderaan lain. Ia menunjukkan aspek penyelenggaraan kenderaan amat penting dan tidak boleh dipandang ringan.

“Syarikat pengangkutan perlu bertanggungjawab menjaga kenderaan mereka sepanjang masa, bukan menunggu tarikh pemeriksaan Puspakom semata-mata,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) di sini, hari ini.

Sabtu lalu, seorang bayi berusia setahun maut selepas tercampak keluar daripada kereta dipandu ibunya akibat dirempuh sebuah lori di Plaza Tol Bukit Kajang, Sistem Lingkaran Lebuhraya Kajang (SILK).

Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar tiga kenderaan lain manakala pemandunya melompat keluar sebelum rempuhan berlaku.

Pemandu lori berusia 42 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anthony berkata, laporan awal mendapati syarikat terbabit hanya mempunyai dua lori dan kedua-duanya masih aktif dengan lesen serta pemeriksaan Puspakom yang belum tamat tempoh. 

“Namun, aspek penyelenggaraan dalaman tetap perlu diberi keutamaan meskipun syarat pemeriksaan dipatuhi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN