GOMBAK: Kegagalan menggunakan kerusi keselamatan kanak-kanak (child seat) dikenal pasti sebagai punca utama seorang bayi lelaki berusia setahun tercampak keluar sebelum maut dalam nahas ngeri di Plaza Tol Bukit Kajang, Sabtu lalu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, siasatan awal polis mendapati bayi terbabit tidak ditempatkan di dalam kerusi keselamatan kanak-kanak ketika kejadian, sebaliknya tercampak keluar dan tersepit pada kenderaan lain selepas sebuah lori muatan lusuh merempuh beberapa kenderaan di lokasi tersebut.
“Saya tidak menyalahkan mangsa atau ibu bapa, tetapi ini satu peringatan penting kepada semua. Ramai yang mengeluh apabila kerajaan mewajibkan penggunaan child seat kerana faktor kos, namun insiden ini membuktikan betapa pentingnya ciri keselamatan itu.
“Bayangkan jika bayi tersebut berada dalam child seat, kemungkinan besar dia tidak tercampak keluar dan nyawanya masih boleh diselamatkan,” katanya ketika sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Terminal Bersepadu Gombak (TBG) hari ini.
Siew Fook berkata, kerusi keselamatan kanak-kanak adalah ciri keselamatan tambahan yang terbukti mampu melindungi nyawa penumpang kecil dan ia tidak boleh dipandang ringan.
“Setiap ciri keselamatan yang diperkenalkan mempunyai fungsi dan kebaikan tersendiri. Insiden ini sekali lagi membuktikan bahawa mengabaikan child seat boleh membawa risiko besar kepada kanak-kanak,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Pengangkutan menyerahkan siasatan lanjut kepada pihak polis termasuk pengesahan teknikal terhadap kerosakan brek lori terbabit.
“Namun apa yang pasti, bayi tersebut tercampak keluar kerana tiada child seat dan akhirnya meninggal dunia,” katanya.
Sabtu lalu, seorang bayi berusia setahun disahkan maut selepas tercampak keluar daripada kereta dipandu ibunya, Nurul Husna Khairuddin, 38, akibat dirempuh sebuah lori di Plaza Tol Bukit Kajang, Lebuhraya Kajang Silk (SILK).
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.50 pagi itu, lori berkenaan dipercayai mengalami masalah brek sebelum melanggar tiga kenderaan lain yang sedang menuju ke plaza tol.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof dilaporkan berkata, pemandu lori terbabit sempat melompat keluar daripada kenderaannya sebelum rempuhan berlaku.
Akibat kejadian itu, selain seorang bayi maut di lokasi, tujuh mangsa lain cedera dan dirawat di Hospital Kajang, Hospital Serdang serta KPJ Kajang.
Pemandu lori berusia 42 tahun itu sebelum ini ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN










