KUALA LUMPUR: Sebanyak lima keluarga penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Cempaka, Pantai Dalam yang terjejas kejadian ribut semalam masing-masing menerima sumbangan RM1,000.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sumbangan itu diberikan sebagai bantuan awal daripada kerajaan berikutan insiden bumbung tercabut akibat hujan lebat dan angin kencang.
“Lima keluarga tersebut kini ditawarkan penempatan sementara di Rumah Transit Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Kerajaan memberi jaminan akan mengambil langkah pantas bersama DBKL bagi memastikan kebajikan penduduk terpelihara dan proses pemulihan dapat dilakukan segera tanpa menjejaskan keselamatan rakyat.
“Kejadian ribut itu turut menyebabkan 25 buah kenderaan rosak selepas dihempap serpihan bumbung,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Media sebelum ini melaporkan Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzi berkata, bantuan awal RM5,000 disalurkan kepada setiap keluarga, di samping keperluan asas seperti toto, bantal dan selimut serta semua keperluan sekolah yang rosak akan diganti segera.
Tambah Zaliha dalam kejadian tersebut, sebanyak sembilan unit kediaman dilaporkan terjejas mengakibatkan kerosakan lima unit mengalami kerosakan serius.
“Lima unit di tingkat 17 mengalami kerosakan serius manakala selebihnya hanya mengalami kerosakan ringan,” katanya.
Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr. Maimunah Mohd. Sharif dalam kenyataan menyatakan DBKL memberi sokongan penuh dalam proses pemulihan termasuk kerja-kerja pembaikan segera agar penduduk dapat kembali menetap dengan selamat.
“Keutamaan kami adalah keselamatan dan kesejahteraan rakyat. DBKL akan memastikan semua keluarga yang terjejas mendapat perlindungan dan bantuan sewajarnya sehingga mereka dapat kembali mendiami kediaman masing-masing dengan selesa dan selamat.
“Kerajaan Persekutuan dan DBKL akan terus bekerjasama dengan agensi- agensi kerajaan berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memastikan keselamatan, kebajikan serta keperluan asas penduduk ditangani segera bersama agensi lain yang berkaitan,” katanya. – UTUSAN










