'Keluarga mangsa kelar minta diberi ruang sebelum ikuti sesi kaunseling'

‘Keluarga mangsa kelar minta diberi ruang sebelum ikuti sesi kaunseling’

ROZITA Ibrahim (tiga dari kiri) ketika merasmikan projek akuaponik pintar solar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang di Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU : Keluarga kepada guru wanita yang menjadi mangsa kelar suaminya sendiri minggu lepas mahu diberikan ruang terlebih dahulu sebelum bersetuju mengikuti sesi kaunseling yang diatur oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah JKM Pulau Pinang, Rozita Ibrahim berkata, keputusan itu dimaklumkan semasa pihaknya mengadakan pertemuan dengan keluarga berkenaan sejurus mangsa dibenarkan keluar dari hospital, beberapa hari lalu.

“Wakil JKM sudah turun padang untuk berjumpa keluarga tersebut, namun, mereka memohon supaya diberikan sedikit masa kerana masih trauma (dengan kejadian yang berlaku).

“Dalam hal ini, sesi kaunseling tidak boleh dipaksa sekiranya keluarga belum bersedia. Jadi, kita hormati permintaan mereka dan akan terus memantau perkembangan kes ini dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan projek akuaponik pintar solar di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Teluk Bahang di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6 pagi Rabu lalu, suami mangsa yang juga seorang guru bertindak mengelar leher isterinya sebelum mencederakan dirinya sendiri dengan menggunakan sebilah pisau dalam kejadian yang berlaku di Taman Tunas Muda, Sungai Ara, Bayan Lepas.

Siasatan awal pihak polis mendapati, kejadian dipercayai berpunca daripada masalah hutang bank yang dipinjam oleh suspek untuk pelaburan saham, selain ansuran pembelian barangan melalui platform e-dagang.

Sementara itu, Rozita memberitahu, keluarga mangsa memerlukan ruang untuk menenangkan emosi kerana mereka kini berdepan dengan pelbagai tekanan selepas kes tersebut mendapat perhatian ramai pihak.

“Dalam hal ini, JKM tetap komited untuk memberikan sokongan berterusan kepada mereka termasuk memberikan sesi kaunseling apabila keluarga terbabit bersedia kelak,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN