Ke mana hala tuju anak muda Malaysia?

Ke mana hala tuju anak muda Malaysia?

ANAK muda dituntut untuk membuktikan bahawa mereka bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga matang, beretika dan berjiwa patriotik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ANAK muda sering digelar nadi negara, pewaris kepimpinan bangsa dan penggerak citra masa depan watan. Tetapi dalam dunia pasca-merdeka yang serba moden, mereka dihadapkan pelbagai cabaran.

Generasi ini terdedah kepada limpahan maklumat tanpa sempadan. Manipulasi berita, penyebaran maklumat tidak sahih, malah teknologi deepfake membuatkan mereka mudah percaya tanpa menyemak sesuatu khabar terlebih dahulu.

Natijahnya, ada yang terburu-buru membuat keputusan atau sekadar terikut arus majoriti dan ketularan, lalu kehilangan suara kritis mereka sendiri.

Media sosial pula telah menjadi ruang utama kehidupan anak muda. Fenomena takut ketinggalan (FOMO) menjadikan sebahagian daripada mereka lebih cenderung untuk “buat dahulu, fikir kemudian”.

Dalam jangka panjang, budaya ini menjejaskan keupayaan mereka menilai kesan sesuatu tindakan terhadap diri dan masyarakat. Iya, trend boleh diikuti, tetapi prinsip dan nilai diri janganlah pula digadaikan.

Isu kewangan juga tidak kurang pentingnya. Masih ramai anak muda lebih gemar berbelanja dengan mengutamakan kehendak daripada keperluan.

Budaya menyimpan dan berfikir jangka panjang sering diabaikan. Sedangkan hakikatnya, kestabilan kewangan sejak usia muda adalah benteng menghadapi cabaran kos sara hidup yang semakin mencabar.

Lebih membimbangkan, budaya buli masih berleluasa di sekolah dan universiti. Ia menampakkan rapuhnya nilai empati serta moral dalam kalangan sebahagian generasi muda ini. Mangsa bukan sahaja menanggung trauma, malah imej anak muda semakin tercalar dan memudar.

Namun, cabaran ini tidak bermakna anak muda negara kita telah gagal. Ia sebenarnya sebuah isyarat jelas bahawa ada ruang pembaikan yang perlu diberi perhatian segera.

Pertama, literasi maklumat perlu diperkasakan. Elakkanlah daripada sewenang-wenangnya mempercayai atau menyebarkan sesebuah khabar hanya berdasarkan sensasi dan bukan realti atau salah betulnya. Bertabayyunlah dalam mencerna maklumat yang mereka peroleh.

Kedua, anak muda mesti bijak menapis pengaruh media sosial. Gunakan ia sebagai ruang untuk menebar dan mencari inspirasi, dan bukan sebagai penentu harga diri.

Ketiga, budaya menyimpan dan berfikir jangka panjang perlu dijadikan sebahagian daripada gaya hidup.

Keempat, gejala buli mesti dibanteras melalui kerjasama sekolah, ibu bapa dan rakan sebaya. Latihan kepimpinan, pemikiran kritis, serta kerja berpasukan perlu diperluas agar anak muda lebih bersedia menghadapi jatuh bangun kehidupan di dunia sebenar.

Maka, jelaslah bahawa pencapaian anak muda tidak boleh diukur dengan sejauh mana mereka menguasai gajet, menjadi tular di media sosial atau mengikuti trend semasa.

Ukuran sebenar ialah sejauh mana mereka matang dalam berfikir, bijak membuat keputusan, serta mampu menyantuni masyarakat.

Sempena Hari Kemerdekaan 2025 yang bertemakan “Malaysia Madani: Rakyat Disantuni”, anak muda dituntut untuk membuktikan bahawa mereka bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga matang, beretika dan berjiwa patriotik. Kata orang “kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”.

Generasi baharu perlu berani berusaha dan berkorban demi menggapai erti sebuah kejayaan sebenar. Dengan semangat merdeka inilah mereka diyakini mampu membebaskan diri daripada belenggu sikap negatif dan tampil sebagai pewaris bangsa yang menyumbang kepada kemajuan Malaysia di pasak mayapada. – UTUSAN

MUHAMMAD MUKHRIZ FATHI ZAHARI
Mahasiswa Diploma Ukur Bahan
Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Perak

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN