Kapal Sumud Nusantara terbakar diserang dron

Kapal misi kemanusiaan Gaza, Sumud Nusantara terbakar diserang dron

TANGKAP layar video memaparkan sebuah kapal misi Sumud Nusantara yang dilaporkan terbakar selepas diserang dron di perairan Tunisia. - IHSAN/RAHMAT SUMUD NUSANTARA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebuah kapal yang menyertai misi kemanusiaan Sumud Nusantara ke Gaza dilaporkan diserang dron hingga menyebabkan kebakaran di perairan Tunisia.

Peserta misi, Rahmat Ikhsan dalam perkongsian di media sosial berkata, kapal yang menjadi sasaran itu merupakan kapal utama yang menempatkan pimpinan Global Sumud Flotilla (GSF), namun semua penumpang disahkan selamat.

“Salah sebuah kapal kami diserang dron dan terbakar. Semua bertenang kerana tiada kemalangan jiwa. Kapal kami selamat, manakala kebakaran pada kapal berkenaan berjaya dipadamkan.

“Polis dan Tentera Laut Tunisia turut dikerahkan mengawal perairan. Semua warga Malaysia berada dalam keadaan selamat dan kini berlindung di safe house,” katanya menerusi hantaran di Telegram hari ini.

Rahmat berkata, serangan dron ke atas kapal bukan kali pertama berlaku dan kemungkinan tidak menjadi yang terakhir.

Katanya, siaran langsung mengenai kebakaran itu dipadamkan oleh platform media sosial sekali gus menyebabkan peserta misi kini beralih menggunakan saluran Telegram sebagai medium komunikasi rasmi.

Beliau merupakan salah seorang daripada 15 rakyat Malaysia yang menyertai pelayaran itu yang bermula pada 31 Ogos lalu dari Pelabuhan Barcelona, Sepanyol.

Misi berkenaan adalah sebahagian daripada GSF yang menghimpunkan lebih 50 bot dengan penyertaan sukarelawan dari 44 negara yang membawa bekalan makanan dan ubat-ubatan ke Gaza.

Konvoi itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman; penyanyi, Zizi Kirana serta pelakon, Ardell Aryana.

Muhammad Nadir turut mengesahkan kapal Familia Madeira telah menjadi sasaran serangan dron di perairan Tunisia namun semua kru dan penumpang dilaporkan selamat.

“Kebakaran berjaya dipadamkan dan semua yang berada di atas kapal dilaporkan selamat. Prosedur keselamatan telah digerakkan, manakala pihak berkuasa tempatan kini mengambil langkah perlu untuk memastikan keselamatan,” katanya.

Sementara itu, GSF dalam kenyataan mengesahkan sebuah kapal utama yang dikenali sebagai Family Boat dan berlayar dengan bendera Portugal diserang dron hingga menyebabkan kerosakan pada dek utama dan ruang simpanan bawah kapal.

“Semua enam penumpang serta kru berada dalam keadaan selamat. Siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan diumumkan dari semasa ke semasa.

“Tindakan agresif bertujuan mengugut serta menggagalkan misi ini tidak akan melemahkan semangat kami. Misi damai bagi memecahkan kepungan Gaza dan menyatakan solidariti bersama rakyatnya akan diteruskan dengan penuh tekad,” kata kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN