PETALING JAYA: Beberapa bot peserta Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini dalam pelayaran untuk memasuki zon kuning ke Gaza, diserang oleh dron Israel.
Perkembangan itu dikongsikan oleh peserta misi dari Malaysia, Zulfadhli Khiruddin yang memuat naik video kapal dinaikinya diserang dron pada waktu malam.
Menerusi video itu, individu di dalam sebuah kapal itu dilihat meniarap sambil menutup telinga ketika serangan dron melintasi kapal dinaiki mereka.
“Sedikit Allah SWT bagi untuk kami rasa perasaan anak kecil di Gaza sekarang, apabila melihat langit waktu malam dipenuhi serangan dron.
“Bertubi-tubi kami kena, Alhamdulillah boleh dikatakan semua selamat. Bertubi-tubi Gaza kena serangan, ramai yang syahid. Walaupun begitu, tiada satu pun yang berundur. Flotilla kami tetap menuju ke depan. Mohon doa dari semua,” katanya menerusi Thread di sini, hari ini.
Serangan dron itu dilancarkan ketika rejim Zionis menutup lintasan sempadan dari Jordan Ke Tebing Barat yang meragut nyawa rakyat awam di Gaza.
Misi GSF itu kini berada di zon kelabu iaitu di perairan Greece, kira-kira 750 batu nautika dari Gaza dan belum memasuki zon kuning atau merah.
Serangan itu merupakan gangguan kali keempat sejak pasukan berlayar di Lautan Mediterranean dan diyakini sebagai usaha untuk menakutkan serta mengugut peserta misi kemanusiaan yang membawa bekalan bantuan. – UTUSAN










