Jururawat paling ramai berhijrah ke luar negara 

Jururawat paling ramai berhijrah ke luar negara 

Dr. Dzulkefly Ahmad-JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seramai 381 jururawat daripada keseluruhan 440 orang tenaga kerja profesional Kementerian Kesihatan (KKM) berhijrah ke luar negara dalam tempoh 2020 hingga 2024. 

Selain jururawat, penghijrahan bakat itu turut melibatkan 54 pegawai perubatan dan lima pakar perubatan berdasarkan pengisytiharan pegawai dalam notis peletakan jawatan kepada ketua jabatan masing-masing. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, tawaran gaji lebih kompetitif di negara maju serta kadar tukaran asing lebih tinggi berbanding ringgit dikenal pasti sebagai faktor utama yang menyumbang penghijrahan berkenaan.  

“Isu penghijrahan bakat dan tenaga kerja profesional ke luar negara bukanlah satu isu baharu dan turut berlaku di negara membangun lain.

“Buat masa ini, gaji dan insentif yang ditawarkan kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam termasuk petugas kesihatan KKM adalah seiring dengan pendapatan dan kedudukan fiskal semasa negara,” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen. 

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Ros Suryati Alang mengenai jumlah penghijrahan golongan profesional perubatan tempatan termasuk jururawat ke luar negara antara 2020 hingga kini.

Dzulkefly berkata, pihak kementerian mengambil pelbagai inisiatif termasuk pengambilan berterusan petugas kesihatan. 

“Sepanjang tahun 2020 hingga 2024, seramai 4,776 pakar perubatan diwartakan, selain pelantikan tetap 13,349 pegawai perubatan kontrak serta 8,121 jururawat baharu.

“KKM turut memperkenalkan pelarasan gaji penjawat awam dengan kenaikan lapan peratus pada 1 Disember 2024 dan tujuh peratus lagi pada 1 Januari 2026,” katanya. UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN