BUKIT GANTANG: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mengadakan jualan murah barang keperluan asas termasuk beras, ayam segar dan hasil laut sempena sambutan Hari Kebangsaan di pusat khidmat beliau sini hari ini.
Menurutnya, menerusi Jualan Termurah Madani, beras djual jauh lebih rendah berbanding harga di pasaran iaitu beras putih tempatan RM20 sekampit 10 kilogram tanpa had pembelian.
Beliau berkata, turut ditawarkan ialah ayam segar pada harga RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram dan hasil laut seperti ikan kembung, siakap dan kerisi pada harga murah.
Katanya, jualan murah itu untuk membantu rakyat dengan memotong rantaian bekalan sekaligus mengurangkan kos pengangkutan yang menyebabkan kenaikan harga.
“Mana ada orang jual beras putih tempatan RM20 sekampit dan ayam RM8 seekor, kerang RM5 sekilogram serta kembung 50 sen seekor.
“Saya cuba sedaya upaya buat jualan murah di Pusat Khidmat saya di sini dengan jumlah yang besar supaya rakyat dapat membeli dengan harga berpatutan.
“Ini bukan subsidi tetapi penyelesaian sebenar yang boleh saya lakukan setiap minggu di Bukit Gantang.
“Jualan murah hari ini mendapat sambutan apabila lebih 10 tan metrik hasil laut termasuk ayam serta pelbagai barangan asas habis terjual dalam tempoh yang singkat,” katanya ketika ditemui pemberita pada program di sini.
Beliau yang juga Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL) berkata, usaha itu bukan sahaja diadakan sempena sambutan Hari Kebangsaan sebaliknya akan dilaksanakan secara berterusan.
Katanya, ini bagi memastikan rakyat khususnya di kawasan Parlimen Bukit Gantang tidak terus terbeban dengan kenaikan kos makanan.
“Sempena Hari Kebangsaan, saya menurunkan lagi harga barangan asas sebagai tanda prihatin terhadap nasib rakyat yang semakin terhimpit.
“Hari ini istimewa kerana kita meraikan ulang tahun kemerdekaan negara ke-68 bersama denyut nadi rakyat yang sedang berdepan kesukaran hidup.
“Saya mahu mereka merasai nikmat kemerdekaan bukan sahaja dengan sambutan, tetapi juga dengan kelegaan dalam kehidupan harian,” katanya. – UTUSAN