LANGKAWI: Malaysia digesa untuk menghentikan segera aktiviti mengimport sisa plastik dari luar yang dikaburi di bawah alasan kitaran ekonomi kerana ia memberi kesan jangka panjang kepada alam sekitar negara.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, langkah itu juga penting kerana isu pencemaran plastik didapati semakin serius selain boleh memberi kesan terhadap kesihatan rakyat.
“Dari segi pencemaran, kita ingat pakai plastik itu mudah, tetapi hakikatnya plastik adalah bahan yang sangat sukar untuk terurai. Masalah ini bukan hanya kita hadapi, malah seluruh dunia berdepan isu yang sama.
“Sebab itu baru-baru ini saya tekankan bahawa kita perlu cari penyelesaian terhadap plastik. Namun, dalam masa sama kita masih mengimport plastik terpakai ke dalam negara. Saya sudah tegaskan bahawa perkara ini mesti dihentikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18), yang berakhir di sini, petang tadi.
Menurut Johari, beliau telah mengutarakan isu itu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut bersetuju bahawa tindakan mengimport plastik terpakai ini tidak boleh diteruskan.
“Apabila negara luar hantar sisa plastik ke sini, sebahagian bahan itu diproses tetapi bakinya dilupuskan di tapak pelupusan sampah negara kita. Ini menyumbang kepada pencemaran yang serius,” katanya.
Ujar beliau, tindakan negara luar menghantar plastik terpakai ke Malaysia hanya kerana kos pelupusan lebih murah berbanding di negara mereka. – UTUSAN










