'Jihad paling besar berkata benar di hadapan pemerintah jahat'

‘Jihad paling besar berkata benar di hadapan pemerintah jahat’

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jemputan kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47  perlu dilihat sebagai satu bentuk ‘ jihad’ untuk menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah jahat yang menyokong kekejaman di Gaza.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, jemputan tersebut tidak sepatutnya ditafsir sebagai tanda sokongan kepada pendirian negara berkenaan dalam isu Palestin.

Jelasnya, jemputan itu dilakukan atas kapasiti Malaysia selaku Pengerusi ASEAN yang memerlukan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mewakili konsensus rantau berkenaan dalam dialog bersama pemimpin dunia termasuk tokoh kontroversi seperti Trump.

“Kenapa panggil Trump? Bukan kah Trump sokong Israel? Bukan kah Israel sedang ranapkan bumi Gaza? Jadi kenapa mesti jemput Trump? Itu yang didebatkan di luar sana.

“Malaysia tahun ini sebagai Pengerusi ASEAN, walaupun kita ada pendirian sendiri, kita membawa suara konsensus negara-negara ASEAN. Jika kita dapat bertemu muka dengan Trump, kita boleh nyatakan secara tegas bahawa kita mengecam serangan itu dan menolak dasar yang menyokong Israel.

“Bertemu tidak bermaksud bersahabat dengan musuh. Ini lah jihad paling besar menyatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang jahat. Bagaimana mahu bersuara jika bertemu pun tidak?” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Kelmarin, Perdana Menteri menempelak pihak yang mempertikaikan jemputan kepada Presiden AS untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara bulan depan.

Anwar dilapor berkata, Malaysia akan menggunakan platform diplomasi berkenaan untuk terus menyuarakan isu Palestin.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kehadiran Trump harus dilihat menerusi konteks politik antarabangsa.

“Kontroversi timbul kerana orang itu ialah Trump. Tiada siapa yang bersetuju dengan Trump, tetapi kehadirannya mesti dilihat dalam konteks politik global semasa.

“Perdana Menteri tidak akan bercakap atas kapasiti Malaysia sahaja, tetapi sebagai Pengerusi ASEAN yang mewakili 10 negara (iaitu) rantau yang mempunyai kira-kira 680 juta penduduk dengan ekonomi yang besar dan stabil.

“Beliau akan bersuara bagi pihak ASEAN kepada pemimpin dunia termasuk dari Amerika, China, India, Rusia dan Brazil. Oleh itu, jika perdebatan ini mula tersasar, kita perlu tangani dengan penuh kematangan dan berpandukan kepada realiti politik global hari ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN