IPOH: Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) hari ini melancarkan jersi baharu pasukan bagi menghadapi saingan Liga A1 Semi Pro 2025/26.
Pelancaran diadakan dalam satu majlis ringkas tetapi meriah di Al-Ikhsan Sports Outlet Ipoh Parade di sini.
Pelancaran jersi baharu tersebut disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Presiden Pafa, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin berkata, pengenalan jersi baharu ini diyakini dapat menyuntik motivasi tambahan kepada skuad kendalian Syamsul Saad untuk terus memberi saingan dalam liga.
“Jersi ini bukan sekadar pakaian di atas padang, tetapi lambang identiti, kebanggaan dan semangat juang rakyat Perak yang sentiasa berdiri teguh di belakang pasukan.
“Jersi baharu jenama Al Sport ini didatangkan dengan dua rekaan iaitu jersi kuning untuk The Bos Gaurus beraksi di gelanggang sendiri, manakala jersi berwarna hitam akan digunakan bagi perlawanan di tempat lawan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis pelancaran di sini hari ini.
Turut hadir Pemangku Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Ketua Pembangunan Perniagaan Jenama Al‑Ikhsan Sports, Anwar Mamtaj.
Bekas pemain Perak, Danial Fadzly Abdullah, P Gunasegaran dan Nazirul Naim Che Hashim turut hadir
Mohd Azhar menambah, jersi utama pasukan mengekalkan warna kuning tradisi dengan sentuhan moden yang lebih dinamik, manakala jersi kedua menggunakan kombinasi hitam dan perak sebagai simbol kekuatan serta ketahanan.
“Kita memang kekalkan warna kuning sebagai warna yang sinonim dengan kebanggaan negeri, mempunyai tiga belang berwarna hitam dan tertera logo Perak Sejahtera 2030.
“Manakala jersi kedua menggunakan warna hitam yang melambangkan kekuatan, ketahanan dan semangat pantang menyerah pemain ketika di atas padang,” katanya.
Katanya, Pafa melahirkan rasa teruja dan berjanji akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan Perak kembali menjadi pencabar utama bola sepak tanah air. – UTUSAN