Jangan tanya soalan tak relevan - Koroner

Jangan tanya soalan tak relevan – Koroner

ZARA QAIRINA MAHATHIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: “Jangan tanya soalan yang tak relevan. Apa kaitan (inkues) dengan bau mayat?”

‘Teguran’ itu diberikan oleh Koroner Amir Shah Amir Hassan ketika peguam, Datuk Ram Singh bertanya kepada pakar patologi, Dr. Jessie Hiu tentang bau mayat Zara Qairina Mahathir selepas dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth selepas kuburnya digali semula pada 9 Ogos lalu.

Ram: (soalan kepada saksi) Boleh beritahu, bau mayat si mati selepas dibawa untuk bedah siasat? Bau mayat reput, bau elok (smell nice), bau macam mana?

Amir Shah: (mencelah) Bau mayat? Apa kaitannya?
Ram: Sebab (isu) bau ini tular. Jadi nak tanya betul atau tidak.

Amir Shah: Perlu ada relevannya. Ini apa relevannya.
Ram: Tadi Datuk Badius (Timbalan Ketua Pendakwaan II, Datuk Badius Zaman Ahmad) tanya pasal mesin basuh. Saya tanyalah (pasal bau).

Amir Shah: Itu ada kaitan (dengan kecederaan). Bau apa kaitan, kena ada relevan. Tak perlu tanya, (saksi) tak perlu jawab.
Ram: Kalau macam itu, saya tiada lagi soalan.

Selain misteri berkaitan dengan kematian remaja berusia 13 tahun itu, turut tular dakwaan Zara Qairina dimasukkan ke dalam mesin basuh sebelum menemui ajalnya dan bau harum mayat yang kononnya timbul sewaktu kubur remaja itu digali semula.

Sebelum prosiding tamat, Mahkamah Koroner diberitahu bahawa saksi baharu akan dipanggil memberi keterangan pada sesi yang akan bersambung Isnin ini.

“Ahli kimia yang memeriksa tulisan yang dikatakan milik Zara Qairina akan memberi keterangan.

“Kami akan membekalkan dokumen berkaitan kepada pihak-pihak berkepentingan selepas menerimanya daripada ahli kimia. Kesemua eksibit ada di makmal,” kata Pengarah Pendakwaan Negeri, Nahra Dollah.

Nahra turut memberitahu dokumen yang disemak dan dianalisis oleh ahli kimia itu ialah empat buah diari yang dikatakan milik Zara Qairina.

Turut dijangka memberi keterangan pada minggu hadapan ialah doktor yang bekerja di Unit Kecemasan HQE dan antara yang pertama merawat Zara Qairina ketika remaja itu dibawa ke hospital. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN