PASIR SALAK: Penduduk dan pengguna jalan utama di kawasan Kunci Air 4 dekat sini bimbang terhadap keadaan jalan yang semakin mendap dan rosak sehingga kerap kali menyebabkan kemalangan sejak dua tahun lalu.
Bekas ketua kampung, Adnan Abu, 60, berkata, jalan tersebut adalah laluan utama yang digunakan oleh ratusan kenderaan setiap hari dari daerah Hilir Perak dan Perak Tengah.
“Jalan ini menjadi laluan harian penduduk untuk menghantar anak-anak ke sekolah, pergi dan balik kerja. Keadaannya yang mendap dan senget sangat berisiko, terutama pada waktu malam,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurutnya, meskipun kerja-kerja baik pulih telah dijalankan beberapa kali, masalah mendapan jalan tetap berulang dan semakin serius.
“Pihak berkenaan pernah membaiki jalan ini dengan menambah tanah dan menurap semula dengan tar, tetapi tidak bertahan lama. Jalan ini terus mendap dan makin senget bila kenderaan lalu, rasa seolah-olah sebelah tayar masuk ke bawah,” katanya. – UTUSAN











