MELAKA: Jalan Alai Perdana di sini ditutup serta-merta selepas Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengarahkan pemaju menurap semula laluan yang rosak akibat projek berhampiran.
Tindakan itu dibuat selepas lebih tiga minggu penduduk Taman Alai Perdana berhadapan dengan keadaan jalan yang rosak, sekali gus membahayakan pengguna jalan raya.
Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, beliau meninjau keadaan jalan sebelum mengeluarkan arahan kepada pemaju terlibat.
“Saya telah arahkan jalan ditutup terus sehingga pemaju menurap semula laluan yang rosak. Kerja-kerja mengangkut tanah oleh pemaju juga dihentikan sehingga kerja turapan selesai,” katanya ketika ditemui hari ini.
Shadan berkata, laluan sementara dengan penghadang (barrier) khas disusun sebagai langkah segera untuk memudahkan penduduk taman dan orang awam.
Katanya, kerosakan jalan itu berpunca daripada beberapa projek pembangunan di kawasan Telok Mas.
“Antara projek terlibat termasuk naik taraf benteng penahan ombak di Crystal Bay di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta projek perumahan bersebelahan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk berharap tindakan itu memberi pengajaran kepada pemaju supaya lebih bertanggungjawab, kerana masalah jalan berlarutan bukan sahaja menyukarkan pergerakan malah boleh mengundang risiko kemalangan. – UTUSAN










