KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sudah mengiktiraf 93 badan pensijilan halal luar negara di 48 negara sehingga Ogos tahun ini.
Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan sebanyak 33 badan baharu berbanding sebelum ini.
Katanya, kini lebih 10 organisasi dari Russia, China dan negara-negara Balkan sedang menunggu untuk diaudit dalam mendapat pengiktirafan halal dari Malaysia.
“Pencapaian ini mencerminkan usaha berterusan Malaysia dalam membina jambatan kerjasama halal di peringkat global serta memperkukuh komuniti halal antarabangsa.
“Malaysia sentiasa terbuka untuk menerima dan berkongsi berkenaan halal dari segi audit dan standard yang dibangunkan negara ini,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan di Konvensyen Badan Pensijilan Halal (HCBC) kali ke-15 di bawah Global Halal Summit (GHaS) 2025 di ibu negara di sini, hari ini.
Sirajuddin berkata, HCBC kali ini menyaksikan penyertaan badan-badan pensijilan halal dari seluruh dunia, termasuk negara yang telah diiktiraf serta yang masih menunggu giliran untuk pengiktirafan.
“Ini adalah platform perkongsian maklumat dan ilmu, khususnya mengenai perkembangan terkini persediaan halal yang Malaysia laksanakan sama ada di peringkat domestik mahupun antarabangsa.
“Aspek integriti serta keseragaman piawaian halal amat penting untuk manfaat umat Islam dan juga bukan Islam di seluruh dunia,” katanya.
Beliau berkata, antara tarikan utama konvensyen tahunan itu adalah peluang badan pensijilan halal luar negara bertemu secara langsung dengan Jakim bagi mendapatkan pengetahuan terkini mengenai garis panduan dan standard yang dibangunkan Malaysia.
“Setiap tahun mereka menantikan Halal Sociability Convention untuk datang ke Malaysia dan menimba ilmu. Malah, kita turut menyediakan Technical Capacity Development Program bagi meningkatkan kompetensi auditor di negara-negara tersebut.
“Ini penting kerana seringkali timbul persoalan daripada pengguna tentang tahap kompetensi badan luar negara yang diiktiraf Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, keterbukaan Malaysia dalam berkongsi kepakaran halal merupakan antara sebab pensijilan halal Malaysia mendapat pengiktirafan tinggi oleh pemain industri dan pengguna antarabangsa.
“Produk halal Malaysia bukan sahaja diiktiraf sebagai berkualiti, malah paling penting ialah tahap kepercayaan yang lebih tinggi berbanding pensijilan lain,” katanya. – UTUSAN










