“Orang hanya nampak hasil di depan kamera, tetapi mereka tidak tahu apa yang kami lalui di belakang tabir.”
Itu pengakuan jujur aktor popular, Sharnaaz Ahmad, 40, yang mengakui dunia seni bukan sekadar mengenai glamor dan tepukan penonton, tetapi sarat dengan cabaran yang menuntut pengorbanan besar daripada seorang insan bergelar anak seni.
Menurut Sharnaaz, ada perkara pahit yang tidak mungkin difahami oleh khalayak.
Bagi penonton, yang penting hanyalah lakonan di layar perak atau kaca televisyen. Namun bagi pelakon, mereka terpaksa menyembunyikan rasa hati, kepenatan, bahkan kesedihan paling mendalam, demi menghidupkan watak.
“Ya, saya tak nafikan, itu memang bayaran yang kami golongan pelakon atau artis ini harus bayar. Orang tak tahu apa yang kita lalui masa penggambaran.
“Orang cuma nampak hasil dan apa yang mereka tengok pada hasil kerja kita. Mereka boleh komen macam-macam, boleh kritik, boleh hentam hasil kerja kita dengan kejam, tetapi mereka tak tahu apa yang kita lalui setiap kali nak siapkan hasil kerja itu,”katanya.
Keadaan itu jugalah yang dialaminya ketika menjalani penggambaran filem Magik Rompak di bawah arahan Adrian Teh sebelum ini.
Sharnaaz tidak menolak bahawa karya lakonannya itu meninggalkan kesan mendalam.
Ia bukan kerana skrip atau jalan cerita, sebaliknya kerana tragedi peribadi yang berlaku pada saat penggambaran.
“Cerita tu menggamit memori saya yang sangat tak menarik. Kalau hendak tahu ketika menjalani penggambaran filem itu, ketika itulah arwah bapa saya sakit dan meninggal dunia.
“Dan masa latihan pun, saya dapat tahu bapa saya sakit. Jadi niat saya kerja memang kerja sajalah, tapi otak saya tak duduk kat situ,” katanya sebak.
Lebih menyayat hati, terdapat adegan yang dirakam menjadi saksi perasaan sebenarnya kerana terpaksa menelan rasa sedih apabila mengetahui bapanya sedang nazak.
“Ada satu babak atas kontena, masa saya tengah berdialog, saya dapat tahu bapa saya sedang nazak. Satu lagi babak flashback ketika saya berambut panjang.
“Itu dua hari sebelum bapa saya meninggal. Reaksi itu semua natural, saya dalam keadaan auto pilot. Jadi bila saya tengok balik cerita itu, saya jadi teringat semua itu,” katanya lagi.
Dalam kesukaran itu, Sharnaaz beruntung kerana mendapat sokongan daripada rakan seperjuangan, iaitu pengarah filem berkenaan, Adrian Teh.
Walaupun pernah melalui fasa ‘gaduh kecil lelaki sama lelaki’, hubungan mereka akhirnya menjadi akrab, akui Sharnaaz.
“Adrian sebenarnya adalah seorang kawan yang baik. Kami gaduh kecil, itu biasa, tapi lepas itu rapat balik. Sampai hari ini pun kami masih rapat, bawa motorsikal sama-sama, makan sama, minum sama.
“Di set pun tak ada masalah, dia sangat menghormati saya, dan saya hormat dia juga,” ujarnya.
Namun kata Sharnaaz, Adrian menunjukkan sikap kemanusiaan yang tinggi apabila dia memaklumkan bapanya sedang nazak di tengah jadual penggambaran yang padat.
“Masa saya beritahu dia, ‘Adrian, bapa aku nazak ini’, dia terus beritahu dan suruh saya balik kampung. Sebenarnya, apabila saya balik sedangkan penggambaran masih belum selesai, dia rugi hari itu lebih kurang RM100,000.
“Sebab set besar itu dah dibayar. Tetapi dia kata, ‘Kalau aku tak berikan kebenaran untuk kau balik, aku akan menyesal sampai bila-bila.’
“Itu yang buat saya rasa terhutang budi pada dia. Betul, saya sempat jumpa bapa saya walaupun masa itu dia dah tak sedar,”kongsinya.
Selain cabaran emosi, Sharnaaz turut berdepan dugaan fizikal ketika penggambaran Magik Rompak berlangsung sebelum ini.
Namun, baginya hal itu tidak seberat menanggung kesedihan hati.
“Nak suruh saya gantung daripada tingkat paling tinggi di TRX pun saya boleh buat, tak ada masalah. Saya pernah tergantung tiga hari masa buat babak di atas kereta itu. Itu semua tak apa, yang susahnya ialah benda dalam hati,” jelasnya.
Selain itu, sebagai aktor berpengalaman lebih sedekad dalam industri, Sharnaaz akur dengan lumrah dikecam.
Bagi dirinya, sesuai dengan usia, kini bukan lagi masanya untuk melawan atau mempertahankan diri dengan panjang lebar berdebat dengan warganet untuk sesuatu isu yang baginya tidak berbaloi.
“Dah belasan tahun, nak masuk puluhan tahun dalam industri. Orang nak maki kita pun telan sajalah.
“Lawan balik tak dapat apa. So saya buat lawak saja kalau dengan mereka ini,” katanya bersahaja.-UTUSAN