Isu Kampung Sungai Baru: Annuar Musa perlu segera beri penjelasan

Isu Kampung Sungai Baru: Annuar Musa perlu segera beri penjelasan

Seorang wanita melewati deretan rumah yang sebahagiannya telah dirobohkan di Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa tampil memberi penjelasan berhubung kemelut pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru yang kini menimbulkan keresahan penduduk.

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Annuar perlu bertanggungjawab kerana pewartaan Akta Pengambilan Tanah dibuat ketika beliau menerajui kementerian itu.

Katanya, tindakan berdiam diri hanya menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab sedangkan aktivis pembangkang giat menyerang kerajaan Madani dalam isu berkenaan.

“Beliau perlu menjelaskan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Parlimen tidak bersidang.

“Adalah pelik jika seorang menteri tidak mengetahui pewartaan tersebut sebagaimana dinyatakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yang menuding jari kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Setiap tindakan eksekutif khususnya melibatkan pewartaan akta pasti dilaporkan kepada menteri sebelum dibawa ke pengetahuan Kabinet. Bagaimana seorang menteri boleh berlepas tangan dengan menyalahkan eksekutif sedangkan mereka hanya melaksanakan arahan tanpa boleh melangkaui kuasa menteri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Badli yang juga Ketua Cabang Keadilan Titiwangsa berkata, pembangkang wajar berhenti menggunakan isu ini dengan mewujudkan naratif bagi menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut berkenaan jelas berpunca ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.

“Justeru, saya mendesak Annuar tampil memberi penjelasan dan tidak terus berdiam diri seperti seorang pengecut,” katanya.

Semalam, Shahidan dilaporkan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa berperanan dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.

Ahli Parlimen Arau itu juga berkata, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru tidak boleh dikaitkan dengan kuasa Menteri Wilayah Persekutuan kerana jawatan itu tidak mempunyai kuasa eksekutif dalam proses berkenaan.

Katanya, kuasa sebenar terletak di bawah Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Datuk Bandar Kuala Lumpur serta KSN manakala menteri hanya berperanan sebagai pemudah cara. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN