KUALA LANGAT: Meskipun sudah memeluk Islam lebih 40 tahun, identiti diri seperti seni dan adat sebagai masyarakat Orang Asli tidak pernah dilupakan selain turut diikuti oleh anak-anak serta ahli keluarga lain.
Menurut penduduk Kampung Orang Asli Sungai Judah, Esah Abdullah, 70, sebagai suku Orang Asli Mah Meri, sehingga kini dia dan keluarga masih mengikuti seni dan budaya etnik itu, termasuk menghadiri majlis-majlis keraian yang melibatkan amalan nenek moyang mereka.
“Kecuali aktiviti pemujaan, itu memang kita tidak lagi lakukan sebab bertentangan dengan ajaran Islam. Cuma, bila ada perayaan bersama masyarakat dan acara-acara tertentu, kita tetap raikan bersama-sama.
“Sebagai contoh, saya memeluk Islam pada 1981, ketika itu saya aktif dengan aktiviti tarian, perayaan dan sebagainya sebab itu memang identiti masyarakat saya. Dua orang anak saya pun pernah menari, bermain alat muzik seperti tambo (gendang), tuntog (ketuk buloh) dan gong,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Warga emas itu ditemui ketika menerima sumbangan al-Quran dan bantuan barangan makanan daripada Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Daerah Kuala Langat yang mengunjungi mualaf Orang Asli dekat lima Kampung Orang Asli iaitu Sungai Bumbun, Sungai Judah, Sungai Kurau, Sungai Rambai dan Kepau Laut di Pulau Carey, di sini, semalam.
Setiausaha Kehormatnya, Aiman Azim Zafril berkata, program itu merupakan antara aktiviti santuni mualaf yang dianjurkan oleh Perkim Kuala Langat bagi mengetahui khabar dan mengikuti perkembangan kehidupan mereka.
Menurutnya, perkembangan dakwah Islam di daerah ini termasuk dalam kalangan masyarakat Orang Asli meningkat dengan sehingga 30 orang memeluk Islam pada setiap bulan.
Bagi Nor Alia Abdullah, 55, dia memeluk Islam ketika sedang ditimpa sakit lutut sehingga tidak mampu berjalan pada 1988, selepas diajak oleh kawannya.
“Ketika itu memang tak tahu rawatan apa lagi yang boleh dibuat. Sehinggalah kawan saya beritahu, baca surah Yasin dan minum airnya. Tetapi, sebelum itu dia ajak saya peluk Islam, kemudian dia ajar cara buat air Yasin.
“Saya peluk Islam, amalkan bacaan surah Yasin dan minum airnya. Alhamdulillah, saya bersyukur sangat, berkat doa yang makbul, sakit saya beransur-ansur hilang dan boleh kembali berjalan seperti biasa. Sejak itu saya terus berpegang kepada ajaran Islam,” ujarnya.
Tambahnya, walaupun hampir 40 tahun memeluk Islam, dia masih mengekalkan identitinya sebagai masyarakat Orang Asli dan meraikan perayaan-perayaan yang disambut setiap tahun.
Bagaimanapun, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang, Datuk Zurihan Yusop mengingatkan masyarakat Orang Asli yang memeluk Islam supaya tidak mengasingkan diri dan boleh mengekalkan cara hidup bersama komuniti. – UTUSAN










