Lebih 10,000 pelarian Myanmar berjaya dibawa pulang

Lebih 10,000 pelarian Myanmar berjaya dibawa pulang

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rundingan Malaysia dengan Myanmar setakat ini berjaya membawa pulang lebih 10,000 pelarian Myanmar ke negara asal mereka, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Memuatkan artikel berkaitan…

Anwar berkata, sebahagian daripada mereka dibawa pulang atas inisiatif kerajaan Myanmar sendiri menggunakan pesawat, manakala kumpulan terakhir seramai kira-kira 1,400 orang termasuk etnik Rohingya dibawa pulang menggunakan kapal tentera laut Myanmar.

“Jadi jumlah 10,000 telah dipulangkan. Saya faham kegelisahan masyarakat antarabangsa, termasuk hak asasi manusia dan teguran oleh rakan-rakan dalam Parlimen serta badan-badan bukan kerajaan di luar Parlimen.

“Tapi syarat yang kita berikan pada junta tentera Myanmar ialah pertama, mesti bawa pulang rakyat Myanmar. Kedua, jaminan layanan yang munasabah kepada rakyat sendiri supaya tiada penderaan, penekanan dan pelanggaran hak asasi,” katanya ketika sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai langkah menangani isu keberadaan warga Myanmar termasuk pelarian dan pemohon suaka, khususnya etnik Rohingya selepas penghantaran pulang mereka pada 29 September lalu.

Anwar berkata, jaminan berhubung perkara itu turut diberikan dalam rundingan bersama Menteri Luar Myanmar dan semasa pertemuan terakhir beliau di Beijing.

“Dalam rundingan dengan Menteri Luar, ini jaminan diberikan. Dan rundingan dengan saya terakhir di Beijing juga diberikan. Itulah sebabnya mengapa kita cari penyelesaian,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia memilih pendekatan penyelesaian berbanding membiarkan isu berkenaan berlarutan tanpa hasil.

“Kita boleh bincang masalah ini selama puluhan tahun, tapi ini penyelesaian pertama yang kita catat.

“Dan setakat yang saya faham, Malaysia adalah negara pertama yang berjaya membawa pulang rakyat Myanmar ke negara asal mereka,” katanya.

Semalam, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengkritik usaha Malaysia menghantar pulang pendatang ke Myanmar yang menurut badan dunia itu tidak dapat menjamin kepulangan mereka dengan selamat ke negara yang dilanda perang.

Seramai 1,476 individu tiba dengan kapal di luar Yangon pada Ahad, dalam kumpulan pertama daripada 5,000 orang yang menurut Kuala Lumpur dipersetujui Myanmar untuk menerima semula.

Akhbar milik kerajaan, The Global New Light of Myanmar, melaporkan seramai 8,041 rakyat negara itu dihantar pulang melalui udara antara Januari hingga Ogos tahun ini.

Jumlah keseluruhan migran yang menurut Myanmar dihantar pulang melalui laluan udara dan laut tahun ini ialah 9,517 orang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN