PUTRAJAYA: IKONDESA akan menjadi platform baharu bagi mengangkat produk desa ke pasaran bandar utama sekali gus menarik pelancong untuk membeli hasil kraf serta makanan kampung.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu dilihat sebagai pemacu perubahan dalam memperkasakan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) luar bandar agar tidak hanya terhad kepada pasaran setempat.
Beliau berkata, IKONDESA diwujudkan sebagai satu ‘game changer’ dan platform bagi memasarkan produk luar bandar kepada pelancong.
“Ini juga sesuai dengan apa yang dilakukan oleh MARA iaitu ‘Gate to Global’,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran IKONDESA@Putrajaya di sini hari ini.
Katanya, IKONDESA@Putrajaya akan dijadikan pusat pembangunan usahawan yang berpotensi menjana pendapatan baharu dan menjadi mercu tanda baharu di Putrajaya.
Ahmad Zahid berkata, pihaknya juga merancang untuk memperluas platform sama ke ke negeri Pahang pada masa akan datang.
Mengulas lanjut, katanya, IKONDESA akan mengetengahkan tema negeri setiap bulan bagi memberi peluang kepada pelancong domestik dan antarabangsa menikmati kepelbagaian produk desa yang diketengahkan.
Menurutnya, tiga langkah utama dirangka bagi memastikan IKONDESA berdaya saing, iaitu pemantapan digitalisasi dan e-dagang, pengukuhan jenama serta pensijilan, selain latihan dan bimbingan berterusan kepada usahawan desa.
“Produk desa juga mesti dikenali kerana kualitinya, dipercayai kerana pensijilannya, dan disukai kerana keunikannya. Sama ada sijil halal, pengiktirafan kraf, atau piawaian makanan, semuanya akan diperkuat bagi menjamin keyakinan pengguna.
“IKONDESA tidak boleh sekadar menjadi ruang niaga. Ia mesti menjadi pusat pembangunan usahawan, dengan coaching, klinik perniagaan, dan bimbingan berterusan dalam pemasaran, penjenamaan, dan pengurusan kewangan di setiap lokasi,” katanya. – UTUSAN