IPOH: Bekas ketua Pas Perak, Razman Zakaria yakin Pesuruhjaya Pas negeri yang baharu, Datuk Idris Ahmad akan membawa kejayaan lebih besar buat parti tersebut.
Idris yang merupakan Naib Presiden Pas diumumkan sebagai ketua Pas Perak bagi sesi 2025-2027 hasil Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat kelmarin, sempena Muktamar Tahunan Pas Pusat ke-71 di Alor Setar, Kedah pada 15 dan 16 September.
Razman berkata, Idris seorang pemimpin berpengalaman luas dalam lapangan politik dan pentadbiran negara termasuk pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Dengan rendah hati saya mengucapkan tahniah kepada Yang Berhormat. Saya meyakini dengan kepimpinan beliau, Pas Perak akan terus dipandu menuju kejayaan yang lebih besar, memperkukuh saf perjuangan, dan seterusnya mengangkat martabat Islam di negeri ini,” katanya hari ini.
Pertukaran Pesuruhjaya Pas Perak sudah dijangkakan ekoran dakwaan sebelum ini bahawa Razman direhatkan daripada tugasnya susulan beberapa isu.
Khabar angin itu berlaku pada Mac lalu dan dilaporkan tugas tersebut telah dipangku oleh Idris.
Razman menerima asakan daripada parti lawan atas pelbagai isu dan kemuncaknya beliau digantung selama enam bulan bermula 16 April lalu daripada menyertai persidangan DUN Perak, susulan kenyatan berhubung bendera China semasa acara di Teluk Intan pada 24 Oktober 2024.
Razman juga kalah dalam perebutan satu daripada 18 kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat bagi penggal 2025-2027 yang diumumkan kelmarin namun tetap dilantik untuk jawatan tersebut.
Mengulas lanjut, Razman berkata sepanjang mengetuai Pas Perak dari tahun 2013 hingga 2025, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk perpecahan parti sehingga terbentuknya Parti Amanah Negara serta Pilihan Raya Umum 2018 dan 2022. – UTUSAN