Ibu saya pejuang, dia melawan kanser - Momen menyentuh hati di Konsert Masdo - Utusan Malaysia

Ibu saya pejuang, dia melawan kanser – Momen menyentuh hati di Konsert Masdo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pemain gitar kumpulan Kugiran Masdo, Muhammad Aizat Asymawi atau Asmawi, menyentuh hati penonton apabila berkongsi kisah ibunya yang berjuang melawan kanser tahap empat.

Asmawi, 31, berkongsi mengenai perkara itu ketika Konsert Ulang Tahun Ke-10 Kugiran Masdo yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, semalam.

“Ibu saya seorang pejuang. Dia melawan kanser tahap empat,” katanya disambut tepukan gemuruh daripada penonton yang hadir.

Dalam satu momen istimewa ketika persembahan lagu Ratu Hati, kesemua anggota Masdo membawa ibu masing-masing ke atas pentas sebagai penghargaan atas sokongan tidak berbelah bahagi mereka selama ini.

Ali Sariah memperkenalkan ibunya, Sariah, sambil menjelaskan asal-usul namanya, manakala Putuceri pula memperkenalkan ibunya, Rohibiah.

“Emak kami hari-hari doakan agar tiket konsert kami ‘sold out’,” kata Ali yang juga vokalis utama kumpulan berkenaan.

Konsert tersebut mempersembahkan 21 lagu termasuk karya-karya yang jarang dipersembahkan seperti Kasih & Sayang dan Lautan Asmara, selain menghimpunkan perjalanan suka duka Masdo sejak ditubuhkan pada 2015.

“Pejam celik sudah 10 tahun kami berkarya. Terima kasih kepada semua yang hadir dari jauh dan dekat. Kami bermula dari bawah dan berada di sini hari ini kerana sokongan anda semua,” ujar Ali sambil mendedahkan perancangan kumpulan itu untuk melancarkan album terbaharu tidak lama lagi.

Malam istimewa itu turut diserikan dengan kehadiran beberapa artis jemputan yang pernah menjadi inspirasi kepada Masdo sepanjang penglibatan mereka dalam industri muzik tanah air antaranya Heidi Moru yang berduet bersama Masdo menerusi lagu Pujaanku, diikuti Noh Salleh dengan lagu Inilah Jalannya sebelum kembali bersama kumpulan Hujan menyampaikan lagu Janji Manis.

Turut membuat penampilan ialah Fizan daripada kumpulan Bittersweet yang memukau penonton dengan lagu Nearly Near You.

Kemuncak persembahan menyaksikan Masdo dan Hujan bergabung di atas pentas menerusi lagu hit Aku Scandal, mencetuskan sorakan dan tepukan gemuruh daripada penonton.

“Mereka yang bersama kami di atas pentas malam ini bukan sekadar jemputan. Ini tanda terima kasih kami kepada mereka yang menjadi pengaruh besar dalam perjalanan Masdo selama ini,” kata Ali.

Kumpulan Masdo mula mencuri perhatian peminat muzik tempatan dan serantau menerusi album sulung Selamat Tinggal Pujaan, dengan lagu-lagu popular seperti Bunga, Teruna dan Dara serta Dinda, yang turut melonjakkan nama mereka hingga ke Indonesia dengan konsep muzik berteraskan gaya retro 60-an.

Mereka turut pernah tercalon bagi kategori Best Asia Act di MTV Europe Music Awards (EMA) 2024 di England serta tersenarai antara lima kumpulan tempatan teratas menerusi Spotify Wrapped Malaysia 2024. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN