PARIT: Seorang ibu kepada enam anak dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan cuai sehingga menyebabkan kematian anak bongsunya yang berusia dua bulan, Khamis lalu.
Tertuduh, Dewinta Tefa, 36, juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman tersebut dijatuhkan terhadap wanita warga Indonesia itu selepas tertuduh membuat pengakuan bersalah di hadapan Majistret Nurul Izalina Rajaai.
Terdahulu, tertuduh dilihat sebak dan menangis teresak-esak di kandang pesalah sebaik sahaja ditunjukkan gambar bayi lelakinya dan tempat kejadian berlaku.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan cuai menyebabkan kematian Arkan Andre Soveral Asit di sebuah rumah di Jalan Sungai Jejawi, Kampung Sungai Dua, Kota Setia dalam daerah Perak Tengah pada pukul 5.30 pagi, 18 September 2025.
Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Ameerul Nazhif Wan Zulfikri memberitahu mahkamah bahawa tertuduh tidak mempunyai sebarang rekod lampau dan memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap kecuaian wanita itu yang menyebabkan kematian anaknya.
Bagaimanapun, peguam bela, Nurul Syuhada Mohd. Yusof memaklumkan bahawa tertuduh mempunyai enam anak dengan empat daripada mereka menetap di Indonesia manakala anak kelima dan bongsu yang merupakan mangsa tinggal bersamanya dan suami di Malaysia.
Katanya, tertuduh yang berada di negara ini sejak 2022 merupakan seorang suri rumah dan ditanggung suaminya yang berkerja di ladang kelapa sawit dengan pendapatan bulanan sebanyak RM1,500.
“Tertuduh tidak pernah terlibat dengan jenayah dan mohon mahkamah mengenakan hukuman denda yang paling minimum ke atasnya,” ujar beliau.
Tertuduh membayar denda berkenaan.
Pada 20 September lalu, media melaporkan kematian seorang bayi lelaki berusia dua bulan selepas mangsa dipercayai tertindih badan ibunya ketika sedang tidur di sebuah rumah di Kampung Sungai Dua, Kota Setia di sini.
Berdasarkan hasil bedah siasat yang dilakukan ke atas mayat bayi terbabit di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh, punca kematian mangsa disebabkan oleh otak membengkak dan paru-paru sembab yang disebabkan oleh lemas udara.
Berikutan itu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 33 Akta Kanak-kanak 2001 dan ibu bayi itu ditahan untuk siasatan lanjut. – UTUSAN










