Ibu bapa kembali hantar anak ke SK Tohoi selepas 10 tahun

Ibu bapa kembali hantar anak ke SK Tohoi selepas 10 tahun

MOHD. Azmawi Fikri Abdul Ghani (kanan) bertanya khabar ibu bapa dan murid di Pos Tohoi yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Tohoi, Gua Musang, Kelantan. MINGGUAN/AIMUNI TUAN LAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Golongan ibu bapa Orang Asli dari suku Temiar di Pos Tohoi semakin melupakan tragedi kehilangan tujuh murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi 10 tahun lalu apabila kembali menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

Penghulu Pos Tohoi, Zainal Chali berkata, tragedi hitam itu menyebabkan sebahagian besar ibu bapa hilang kepercayaan terhadap guru dan memboikot sekolah berkenaan.

“Alhamdulillah, selepas 10 tahun, penduduk semakin melupakan tragedi itu. Sekolah kini menerima murid seperti biasa dan bilangan pelajar semakin bertambah.

Sambutan daripada ibu bapa di Pos Tohoi dan Pos Simpor amat baik dan tiada masalah apabila mereka menghantar anak menuntut ilmu di SK Tohoi,” katanya ketika ditemui semalam.

Zainal menambah, semua pihak termasuk guru dan agensi kerajaan telah banyak turun padang memberi khidmat nasihat serta memujuk ibu bapa supaya menerima keadaan tersebut.

Seorang suri rumah, Noraini Ahmad, 33, berkata dia berharap kejadian kehilangan murid Orang Asli daripada asrama tidak berulang lagi.

“Peristiwa itu kekal dalam ingatan kami dan masyarakat di Pos Tohoi tidak pernah melupakan memori tersebut sehingga kini. Saya sentiasa mendoakan keselamatan anak-anak yang bersekolah di SK Tohoi agar tidak berlaku lagi kejadian buruk seperti 10 tahun lalu,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani pula berkata, kerjasama antara ibu bapa dan guru memberi impak positif kepada murid.

“Ibu bapa Orang Asli kini semakin bersikap terbuka dan memberikan kerjasama yang positif dalam setiap program yang dianjurkan oleh pihak sekolah,” katanya.

Kejadian pada 23 Ogos 2015 itu menyaksikan tujuh murid asrama SK Tohoi dilaporkan lari dipercayai takut dikenakan tindakan kerana mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selepas hampir 50 hari hilang, Mirsudiar Aluj, 11 tahun, dan Norieen Yaakob, 10 tahun, ditemui masih hidup kelaparan di tebing sungai.

Manakala lima lagi murid terkorban iaitu Ika Ayel, 9 tahun, Sasa Sobrie, 8 tahun, Haikal Yaakob, 8 tahun, Linda Rosli, 8 tahun, dan Juvina David, 7 tahun.

Kesemua mereka adalah masyarakat Orang Asli suku Temiar dari Kampung Gawin, Pos Gob dan Kampung Penad, Pos Simpor. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN