Hospital patuh syariah berkonsep wakaf pertama di Malaysia

Hospital patuh syariah berkonsep wakaf pertama di Malaysia

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hospital Pakar Semenyih yang bakal dibina seluas 1.05 hektar di Mukim Semenyih, Hulu Langat bakal menjadi fasiliti kesihatan pakar pertama berteraskan prinsip patuh syariah dan wakaf di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ia bukan sekadar sebuah fasiliti kesihatan moden berteknologi tinggi, bahkan bakal beroperasi mengikut undang-undang dan etika komersial Islam.

Beliau berkata, selaras aspirasi ekonomi Madani, kerajaan berhasrat menjadikan wakaf sebagai sektor ketiga ekonomi negara, dengan sasaran menyumbang 10 peratus kepada sektor kewangan sosial Islam menjelang 2030.

“Hospital ini adalah bukti nyata bagaimana instrumen wakaf boleh digerakkan dalam sektor kesihatan. Ia memberi manfaat besar
kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan berkualiti, serta menjana hasil yang mampan untuk institusi wakaf negeri.

“Model seperti ini sebenarnya boleh diperluas ke seluruh negara, bukan sahaja dalam sektor kesihatan, malah dalam pendidikan, perumahan, dan pembangunan sosial,” katanya semasa menyampaikan ucapan sempena Majlis Pecah Tanah pembangunan hospital itu di Taman Tasik Semenyih, dekat sini hari ini.

Hospital yang akan dibangunkan itu merupakan hasil inisiatif Yayasan Waqaf Malaysia dengan kerjasama Highfield Healthcare Sdn. Bhd., sebagai projek perintis model hospital pakar wakaf di negara ini.

Hospital dibina dengan keluasan 783,566 kaki persegi termasuk kemudahan parkir bakal menyediakan 261 katil dengan pelbagai kepakaran perubatan akan dikendalikan oleh operator hospital berpengalaman An-Nur Healthcare Sdn Bhd dan dijangka
siap pada 2030.

Ia bakal dilengkapi dengan kemudahan mesra ibadah seperti al-Quran, panduan ibadah pesakit, kemudahan solat, tayamum dan sokongan kerohanian serta memberikan pengalaman rawatan yang berbeza dan lebih bermakna berbanding hospital konvensional.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berharap pihak pemaju mengambil inisiatif untuk menerapkan elemen teknologi hijau dalam proses pembinaan dan pembangunan fasiliti kesihatan itu.

“Matlamat itu juga selaras Pelan Hala tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), ke arah mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Hijau (GHG) Bersih Sifar menjelang 2050.

“Hospital pakar ini juga bakal menjadi pintu gerbang perubatan di wilayah selatan dengan memberikan perkhidmatan perubatan berkualiti tinggi serta meningkatkan aksesibiliti kepada sebahagian besar penduduk di negeri-negeri selatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN