Harga minyak masak terpakai lebih baik daripada RON95 – Kor Ming

Harga minyak masak terpakai lebih baik daripada RON95 – Kor Ming

NGA Kor Ming Ketika melakukan gimik pembersihan bagi Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 yang akan diadakan 27 September ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Harga minyak masak terpakai kini lebih tinggi daripada Petrol RON95 apabila ia boleh dijual pada kadar RM2.50 sekilogram berbanding bahan api itu yang hanya berharga RM1.99 seliter mulai hujung bulan ini.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, inisiatif kitar semula minyak masak itu akan dilaksanakan secara besar-besaran pada Hari Cuci Malaysia 2025, Sabtu ini melalui 113 pusat pandu lalu di seluruh negara.

Beliau berkata, setiap satu kilogram minyak masak terpakai boleh dijual pada harga RM2.50 di lokasi terpilih pada Sabtu ini.

“113 pandu lalu kitar semula menanti anda untuk kutip dan kumpulkan minyak masak terpakai. Harga minyak terpakai lebih baik dari RON95 kerana RON95 mulai hujung bulan ini hanya RM1.99.

“Nilai minyak kitar semula lebih tinggi. Itu menunjukkan dasar apabila kita mensejahterakan rakyat, kita juga melestarikan alam sekitar. Itu adalah strategi serampang dua mata supaya dapat sama-sama memastikan Hari Cuci Malaysia 2025 dijayakan.

“Saya harap rakyat dialu-alukan bersama-sama mengitar semula minyak masak yang terpakai,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Pra-Pelancaran Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 di Pasar Seni Kuala Lumpur pagi ini.

Mengulas mengenai HCM 2025, Kor Ming berkata, kerajaan menyasarkan dua rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) dalam Hari Cuci Malaysia (HCM) 2025 yang akan diadakan pada 27 September ini di seluruh negara.

“KPKT kali ini menyasarkan dua rekod baharu MBOR dalam pogram HCM yang dijangka menarik lebih ramai penyertaan serentak di seluruh negara berbanding tahun lalu.

“KPKT menyasarkan penciptaan dua rekod baharu MBOR pada tahun ini iaitu penyertaan gotong royong seramai 100,000 peserta serentak di seluruh negara dan pengumpulan minyak masak terpakai terbanyak dalam satu hari sekurang-kurangnya 3,000 kilogram,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN