Festival Warisan Seni dan Budaya 2025 himpun 2,000 peserta - Utusan Malaysia

Festival Warisan Seni dan Budaya 2025 himpun 2,000 peserta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Festival Warisan Seni dan Budaya 2025 yang berlangsung di Dataran Keris, di sini pada 30 dan 31 Ogos lalu, mencipta suasana penuh warna-warni apabila berjaya menghimpunkan lebih 2,000 peserta dari seluruh negara.

Program anjuran Cappella Entertainment Sdn. Bhd. dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu disertai masyarakat dari Melaka, Negeri Sembilan, Selangor, Johor, Terengganu dan Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan festival berkenaan sebagai salah satu acara rakyat yang berimpak tinggi.

Pelbagai aktiviti seni, persembahan kebudayaan dan pameran warisan menjadi tarikan utama pengunjung sepanjang dua hari penganjuran. Selain memperkenalkan kepelbagaian budaya negeri-negeri, acara itu turut memberi peluang kepada komuniti setempat untuk menonjolkan keunikan tradisi masing-masing.

Menurut penganjur, festival berkenaan bukan sahaja berfungsi sebagai medium mengekalkan warisan seni, malah berperanan mengeratkan silaturahim masyarakat pelbagai latar belakang.

“Sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, Cappella Entertainment Sdn. Bhd. berbesar hati untuk bersama MOTAC dalam memperbanyakkan program kerakyatan yang berkonsepkan rakyat untuk rakyat.

“Ini antara acara menyemarakkan kembali minat masyarakat terhadap warisan, selain memberi manfaat kepada komuniti tempatan melalui penyertaan aktif mereka,” kata wakil syarikat itu dalam satu kenyataan.

Jelas penganjur lagi, komitmen menganjurkan program kebudayaan ini juga selaras dengan usaha negara mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan berteraskan seni dan budaya.

“Cappella Entertainment amat berbangga kerana dapat menjadi antara penggerak utama dalam menyokong kegiatan kesenian, kebudayaan dan warisan Malaysia.

“Kami percaya inisiatif sebegini mampu melahirkan masyarakat yang lebih harmoni serta mencintai budaya sendiri,” katanya.

Festival Warisan Seni dan Budaya 2025 sekaligus menjadi pentas rakyat menzahirkan identiti bangsa serta ruang untuk generasi muda mendekati seni dan budaya tempatan secara lebih dekat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN