Festival Selangor@Batu Laut kembali

Festival Selangor@Batu Laut kembali

PASAR Klasik menawarkan jualan pelbagai produk barangan dan makanan tempatan yang akan beroperasi sepanjang empat hari penganjuran Festival Selangor@Batu Laut 2025 dekat Tanjong Sepat di Kuala Langat, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Festival Selangor@Batu Laut kembali tahun ini dengan menampilkan tema Inilah Selangor sebagai program memupuk kebudayaan dan kesenian tempatan yang menjadi salah satu Program Pelancongan Budaya di negeri ini.

Program di Dataran Pantai Batu Laut, Tanjung Sepat anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Selangor di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya itu kali ini menampilkan lebih 50 pengisian aktiviti sepanjang empat hari penganjurannya bermula semalam hingga Ahad.

Terdapat pelbagai acara menjadi tarikan seperti Selangor Ekstravaganza @Cempuling, Silat Pantai, Sukan Rakyat, Pasar Klasik, Sukan 4Bola Berbatik, Persembahan Kebudayaan Pelbagai Etnik Negeri Selangor, Persembahan Artis Tempatan, Fun Run/ Ride, Konsert Malam Kerohanian, Talk Show bersama Influence, Meet&Greet Selangor FC, Bengkel Cempuling, Pertandingan memancing Pantai, Memanah Budaya, Soopa Doopa dan Petting Zoo.

Selain itu, pertandingan pencungkilan bakat seperti Battle Of The Band @Cempuling, Pertandingan Cempuling Kanak-Kanak, pertandingan nyanyian, pertandingan masakan, pertandingan busana, mewarna dan sebagainya.

Terdapat juga Jualan Rahmah Ehsan Madani dan Agro Madani, pelamin dan jualan kraf orang asli, demonstrasi serta pameran interaktif dan perkhidmatan daripada pelbagai agensi kerajaan, swasta dan NGO, perkhemahan budaya dan banyak lagi aktiviti menarik. 

 Pengarah JKKN Selangor, Muhammad Hasnimizan Ishak berkata, berbanding tahun lalu antara akan diketengahkan sebagai salah satu cabang dalam kebudayaan dan kesenian iaitu pertandingan cempuling.

Menurutnya, tahun lalu pertandingan keroncong mendapat sambutan menggalakkan yang disertai wakil dari Indonesia.

“Kali ini kita ketengahkan muzik cempuling kerana ia seni yang sukar didapati ketika ini dan tidak ramai mengetahuinya dan berpengetahuan untuk bermain muzik cempuling. Selari dengan usaha kerajaan negeri menyemarakkan muzik cempuling Selangor ke peringkat yang lebih tinggi lagi. 

“Di samping itu, juga diketengahkan kebudayaan tempatan masyarakat Selangor khususnya di Batu Laut dengan aktiviti ekonomi seperti pertanian, perikanan dan sebagainya. Sebab itu kita ada pertandingan memancing dan lain-lain pengisian untuk menunjukkan cara hidup dan jati diri orang tempatan yang disusun lebih 40 agensi kerajaan dan swasta serta perubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Namun, paling penting adalah kita teruskan penganjuran pusat jualan barangan kraf, makanan tradisi dan sebagainya menerusi Pasar Klasik, Pusat Kraf dan Peniaga Tempatan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Muhammad Hasnimizan berkata, Festival Selangor@Batu Laut 2024 menjadi penanda aras penting penganjuran pada tahun ini apabila sambutan diterima ketika itu melangkaui jangkaan.

Jelasnya, tahun lalu kehadiran mencecah 60,000 pengunjung walaupun sasarannya sekitar 30,000 orang dan kali ini menyasarkan  50,000 pengunjung datang bersama keluarga untuk menyertai pelbagai aktiviti disediakan mengikut semua peringkat umur.

“Matlamat program adalah memupuk perpaduan, kerana ia bukan soal identiti bangsa tetapi setiap lapisan rakyat yang berada di negeri ini khususnya di Batu Laut tanpa mengira latar belakang.

“Malah bersesuaian dengan sambutan Maulidur Rasul pada hari ini, kita adakan Pengisian Malam Kerohanian untuk bersama-sama meraikan sambutan tersebut,” katanya.

Katanya, seperti tahun lalu Festival Selangor@Batu Laut 2025 akan dirasmikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada esok.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN