KANGAR: Perlis tetap di bawah gagasan SG4 meskipun di bawah Menteri Besar baharu dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menteri Besar, Abu Bakar Hamzah berkata, syarikat SG4 tersebut yang bertujuan berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis itu adalah membabitkan negeri-negeri di bawah pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Katanya, mesyuarat SG4 dijangka diadakan minggu depan dan beliau akan menghadiri sekiranya dijemput.
“Status sekarang, Perlis tetap SG4. SG4 adalah membabitkan negeri-negeri bawah PN dan kebetulan sebelum ini semua empat Menteri Besar adalah dari Pas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sebelum ini, krisis politik yang melanda Perlis telah membawa kepada peletakan jawatan Mohd. Shukri Ramli dari Pas sebagai Menteri Besar, pengosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta penamatan keahlian tiga Ahli Undangan Negeri (ADUN) dari Pas.
Pada 28 Disember lalu, Abu Bakar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar selepas mendapat perkenan Raja Perlis.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan status Perlis sama ada kekal sebagai negeri SG4 susulan Menteri Besar bukan lagi dari Pas.
Penubuhan syarikat SG4 yang bertujuan berkongsi kekayaan dan mengagihkan hasil kepada Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis yang sudah lebih setahun itu sebelum ini turut mencetuskan tanya tanya sama ada telah mencapai objektif diharapkan.
Menerusi syarikat tersebut, setiap negeri di bawah pentadbiran PN itu memiliki saham dan ekuiti yang sama dengan masing-masing memiliki 25 peratus saham syarikat berkenaan yang antara lain bagi bagi memastikan negeri yang ketinggalan jauh seperti Perlis juga mendapat hasil sama.
Sementara itu, Abu Bakar berkata, beliau akan meneliti terlebih dahulu apa juga perkara berkaitan SG4 tersebut memandangkan masih baharu sebagai Menteri Besar.
“SG4 adalah atas semangat PN dan Perlis juga bersama SG4 tersebut,” katanya. – UTUSAN










