Kemurungan dalam kalangan dewasa, kanak-kanak meningkat

Kemurungan dalam kalangan dewasa, kanak-kanak meningkat

Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan menganjurkan program kesihatan komuniti pada 20 September di Dewan Banquet, Pejabat Pengarah Kampus, UIAM Kampus Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2023 (NHMS 2023) mendapati masalah kemurungan dalam kalangan orang dewasa meningkat kepada 4.6 peratus manakala kanak-kanak 16.5 peratus sama terkesan masalah kesihatan mental.

Walaupun peningkatan membimbangkan, semakin ramai sedar kepentingan menjaga kesihatan mental bagi mencapai kualiti hidup lebih baik dan kewujudan hubungan antara kesihatan usus melalui paksi usus-otak.

Paksi usus-otak ini merujuk kepada sistem komunikasi dua hala yang wujud secara semula jadi antara usus dan otak kerana ia boleh memberikan pelbagai kesan kepada kedua-dua otak dan usus yang turut menjadi tempat tinggal kepada 100 trilion bakteria.

Menjaga kesihatan usus supaya seimbang dengan bakteria baik bukan sahaja dapat menyokong penghadaman dan imuniti, malah berupaya mempengaruhi minda secara positif.

Apabila keseimbangan bakteria usus terganggu, ia boleh memberikan kesan negatif kepada emosi, mood dan fungsi kognitif seseorang. Selain amalan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang, pengambilan probiotik memainkan peranan penting dalam penjagaan usus.

Probiotik ialah mikroorganisma hidup apabila diambil dalam kuantiti tertentu, boleh membantu mengekalkan keseimbangan bakteria baik dalam usus, sekali gus menyokong penghadaman dan fungsi usus.

Antara contoh probiotik mudah ditemukan di pasaran ialah Lacticaseibacillus paracasei Shirota strain (LcS) atau dikenali ‘Shirota strain’ yang terdapat secara eksklusif dalam produk minuman susu kultur Yakult.

Berdasarkan kajian saintifik di Jepun, pengambilan probiotik Yakult mengandungi Shirota strain didapati berpotensi membantu melegakan simptom stres melalui modulasi hubungan usus-otak. 

Kajian melibatkan kumpulan pelajar perubatan tahun akhir berdepan peperiksaan yang mengambil Shirota strain setiap hari lapan minggu berturut-turut menunjukkan penghasilan hormon tekanan (kortisol) lebih rendah berbanding pelajar lain.

Bagi mengetahui lebih lanjut tentang hubungan antara kepentingan penjagaan kesihatan usus terhadap kesihatan mental, Yakult (Malaysia) Sdn. Bhd. dengan kerjasama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kampus Kuantan bagi menganjurkan program kesihatan komuniti bertemakan ‘Usus Sihat, Minda Lagi Hebat’.

Program berlangsung pada 20 September di Dewan Banquet, Pejabat Pengarah Kampus, UIAM Kampus Kuantan itu sarat pelbagai aktiviti interaktif menarik termasuk perkongsian ilmu pakar kesihatan, pameran dan pemeriksaan kesihatan untuk semua lapisan masyarakat.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN