IPOH: Enam individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan mayat seorang wanita dalam kenderaan lelaki yang menikam dan menembak seorang anggota polis di Simpang Pulai, awal pagi tadi.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, mereka yang ditahan itu mempunyai hubungan kekeluargaan yang terdiri daripada lima lelaki dan seorang wanita.
“Kesemua mereka ditahan untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, identiti mayat wanita yang ditemukan di bahagian tempat duduk belakang kenderaan dipandu suspek telah dikenal pasti dan mangsa berusia 62 tahun itu merupakan wanita warga tempatan.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengetahui hubungan wanita terbabit dengan suspek.
“Proses bedah siasat ke atas mayat mangsa juga telah selesai dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) dan punca kematian akibat kelemasan,” katanya.
Tambah beliau, semakan terhadap kenderaan dipandu suspek mendapati kereta jenis Toyota Avanza berwarna hijau itu bukanlah kenderaan curi.
Dalam kejadian pada pukul 1.15 pagi itu, seorang anggota polis cedera selepas ditikam dan ditembak seorang lelaki ketika menjalankan tugasan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan Simpang Pulai.
Pemeriksaan pada kenderaan dipandu suspek menemukan mayat seorang wanita di bahagian tempat duduk belakang kenderaan manakala suspek melarikan diri bersama pistol milik pasukan. – UTUSAN