VALENCIA: Pelumba Aprilia, Jorge Martin dijangka melakukan percubaan kebangkitan pada pusingan penutup Kejuaraan Dunia MotoGP 2025 di Grand Prix (GP) Valencia hujung minggu ini, selepas kerap dilanda kecederaan sepanjang musim.
Martin, juara dunia 2024, belum berlumba sejak GP Jepun akibat patah tulang selangka kanan yang dialami dalam perlumbaan sprint selepas berlanggar dengan rakan sepasukan, Marco Bezzecchi.
Aprilia mengesahkan Martin akan ke Valencia, tetapi pelumba Sepanyol itu masih memerlukan lampu hijau daripada pasukan perubatan MotoGP sebelum dibenarkan berlumba.
“Jorge Martin akan ke Valencia untuk Grand Prix Komuniti Valencian. Pelumba Sepanyol, yang tidak berlumba sejak GP Jepun kerana patah selangka kanan ketika perlumbaan pecut.
“Masih perlu menjalani penilaian oleh Pasukan Perubatan FIM Grand Prix Kejuaraan Dunia untuk menerima kelulusan berlumba,” kata kenyataan ringkas Aprilia.
Sekiranya dibenarkan berlumba, Martin berkemungkinan menghadapi penalti atas insiden pelanggaran dengan Bezzecchi di Motegi, yang ditangguhkan pendengaran oleh FIM kerana kecederaan pelumba itu.
Sepanjang musim 2025, Martin hanya sempat berlumba enam GP dengan pencapaian terbaiknya tempat keempat di GP Hungary, selepas beberapa kecederaan sebelum dan semasa musim menyebabkan beliau kerap diketepikan.
Sekiranya Martin gagal beraksi di Valencia, beliau dijangka tetap perlu menerima hukuman penalti pada musim hadapan, manakala tempatnya di pasukan Aprilia kini diisi pelumba ujian, Lorenzo Savadori.
Selain Martin, Tech3 mengesahkan Maverick Vinales turut akan kembali berlumba pada GP Valencia, selepas berehat sejak GP Indonesia akibat kecederaan bahu. – AGENSI/UTUSAN










