Enam bulan sediakan draf RUU Anti Buli - Utusan Malaysia

Enam bulan sediakan draf RUU Anti Buli

AHMAD Zahid Hamidi menjadi panel pada sesi libat urus Program Motivasi Desa (MODE) di Bagan Datuk hari ini. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAGAN DATUK: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said diberi tempoh enam bulan untuk mengemukakan draf Rang Undang-Undang (RUU) Anti Buli ke Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Azalina perlu mengemukakan memorandum serta draf RUU itu selepas mengadakan siri libat urus di seluruh negara.

Katanya, libat urus itu akan melibatkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Badan Permuafakatan Pendidikan Mara Malaysia (MUAFAKAT) selain institusi elit seperti Maktab Tentera Diraja.

“Tempoh sekurang-kurangnya enam bulan diberikan kepada Datuk Seri Azalina untuk mengemukakan kertas cadangan dan memorandum mengenai undang-undang anti buli bagi pertimbangan Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Komuniti Desa (MODE)@Kemas KKDW dan Program Bakti Madani@KPT di Masjid Tuminah Hamidi Bagan Datuk, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Datuk Hanafiah Man.

Mengulas lanjut beliau berkata, siri libat urus itu juga melibatkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) meliputi universiti awam dan swasta di samping mendapatkan input daripada pengamal undang-undang.

Katanya, penggubalan undang-undang bagi menangani isu buli itu penting bagi menyekat perbuatan buli daripada terus berlaku dan menghantui pemikiran ibu bapa serta pelajar.

“Saya mengharapkan semua pemegang taruh terutama PIBG dan pihak pentadbiran universiti untuk sama-sama memberikan input begitu juga pengamal undang-undang dan peguam.

“Kita tidak boleh bertoleransi langsung bagi buli atau ‘ragging’ atau apa juga perbuatan yang dipanggil tradisi terutamanya melibatkan pelajar baharu,” katanya.

Tambah beliau, undang-undang berkenaan juga perlu memperincikan garis panduan yang jelas supaya badan beruniform tidak dituduh seperti yang berlaku dalam insiden melibatkan pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes).

“Kita harap agar ada garis panduan ditetapkan di dalam undang-undang ini termasuk mewujudkan tribunal meliputi semua pihak, agar tiada pertuduhan yang mencemarkan nama mana-mana institusi di negara ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN