PETALING JAYA: Ekonomi Malaysia dijangka sederhana pada separuh kedua 2025 apabila tekanan luaran, khususnya tarif lebih tinggi daripada Amerika Syarikat (AS), memberi kesan terhadap prospek perdagangan, menurut laporan tinjauan separuh kedua 2025 oleh AmBank Economics.
Laporan tinjauan itu memberi amaran, tarif timbal balik (RT) sebanyak 19 peratus yang dikenakan AS menimbulkan cabaran ketara, dengan 53.9 peratus eksport Malaysia ke negara itu kini terdedah.
“Walaupun tahap pendedahan Malaysia lebih rendah berbanding China dan setara dengan rakan serantau, AmBank menegaskan, kesan ‘tarif songsang’ berpotensi menghakis lebihan pengeluar dari semasa ke semasa, sekali gus menjejaskan daya saing dalam sektor eksport utama.
“Meskipun berdepan cabaran tersebut, AmBank mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025 sebanyak 3.8 peratus sedikit di bawah julat unjuran Bank Negara Malaysia iaitu 4.0 hingga 4.8 peratus namun tidak menjurus kepada kemerosotan mendadak.
“Perbelanjaan isi rumah, yang menyumbang lebih 60 peratus daripada KDNK, kekal sebagai pemacu utama, disokong oleh ketibaan pelancong yang kukuh serta aktiviti pembinaan yang rancak,” katanya dalam nota penyelidikan.
Dari sudut fiskal, sasaran defisit kerajaan dijangka kekal dalam jangkauan, meskipun nisbah hutang kepada KDNK meningkat sedikit, didorong oleh pertumbuhan nominal KDNK yang lebih lembap berbanding peningkatan pinjaman baharu.
“Pasaran buruh kekal sihat, dengan kadar pengangguran berada pada paras 3.0 peratus, terendah sejak April 2015.
“Inflasi yang sebelum ini sederhana dijangka meningkat pada separuh kedua, didorong oleh kemungkinan pelarasan harga bahan api RON95 dan tarif elektrik – komponen yang merangkumi 8.2 peratus dalam bakul inflasi pengguna,” katanya.
Bagi sektor tertentu, AmBank kekal berhati-hati namun optimis terhadap industri semikonduktor, dipacu oleh trend pendigitalan global serta pelaburan strategik dalam pusat data.
“Sektor penjagaan keshatan pula dijangka menumpukan kepada persedian menghadapi penuaan populasi serta penambahbaikan penyampaian perkhidmatan,” katanya.
Dalam pasaran kewangan, AmBank mengekalkan pandangan sederhana positif terhadap kedua-dua Sekuriti Perbendaharaan AS (UST) dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS), dengan jangkaan hasil 10 tahun UST mencecah 4.30 peratus menjelang akhir 2025 dan MGS 10 tahun pada paras 3.50 peratus.
“Terbitan bersih Sekuriti Hutang Swasta dijangka meningkat secara sederhana seiring dengan aktiviti pelaburan yang berkembang,” katanya.
Dari sudut mata wang, AmBank mengunjurkan dolar AS terus mengukuh, dengan Indeks Dolar meningkat kepada 99.8 menjelang hujung tahun manakala ringgit dijangka melemah sedikit kepada 4.27 berbanding dolar AS.
“Risiko terhadap unjuran FX ini termasuk kebimbangan terhadap kemampanan fiskal AS, kebebasan Rizab Persekutuan serta kemungkinan penstrukturan semula portfolio selepas lonjakan pasaran ekuiti baru-baru ini.
“Walaupun persekitaran luaran kekal tidak menentu, penampan domestik Malaysia penggunaan, pelancongan dan infrastruktur dijangka membantu meredakan kesannya,” menurut AmBank, sambil menyatakan optimis berhati-hati ketika ekonomi mengharungi landskap perdagangan global yang mencabar,” katanya. – UTUSAN










