PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) melahirkan rasa tidak puas hati terhadap cadangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang hanya menawarkan lapan kerusi kepada parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.
Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, tawaran tersebut amat mengecewakan kerana BN sebenarnya mempunyai 14 kerusi incumbency hasil kemenangan pada PRN lalu.
“Dengar cerita, ada seorang pemimpin utama parti komponen GRS mengatakan bahawa lapan kerusi itu pun sudah terlalu banyak untuk BN.
“Kenyataan seperti ini amat menyakitkan hati kerana ia seolah-olah tidak menghormati BN serta menafikan sumbangan dan kekuatan BN di Sabah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Salleh, perkara itu jelas bertentangan dengan asas rundingan pembahagian kerusi yang sepatutnya berlandaskan prinsip incumbency rule, iaitu kerusi yang dimenangi pada PRN lalu kekal kepada parti asal.
“Sekiranya berlaku pertindihan atau keperluan pertukaran kerusi, ia sepatutnya diselesaikan melalui persetujuan bersama atau swap rule,” katanya.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan GRS dalam PRN Sabah akan datang dan kerjasama BN–Pakatan Harapan (PH) kekal diteruskan.
Menurutnya, UMNO telah meneliti semua aspek serta maklumat berkaitan termasuk hasil perbincangan tiga pihak sebelum membuat keputusan tersebut.
Selain itu, Salleh berkata, perbincangan bersama PH berjalan lancar kerana kedua-dua pihak menghormati prinsip berkenaan, malah rundingan hampir selesai menandakan kesediaan BN–PH untuk bekerjasama dalam semangat Kerajaan Perpaduan.
“Namun, cadangan GRS ini jelas merugikan dan tidak adil. BN berpendirian tegas untuk tidak bersetuju dengan mana-mana cadangan yang tidak menghormati asas rundingan.
“BN sentiasa tetap terbuka kepada perbincangan dengan mana-mana pihak asalkan ia dilakukan dalam suasana muafakat serta mengutamakan kepentingan Sabah di atas segala-galanya. – UTUSAN










