Desakan berundur kesilapan daripada Muhyiddin sendiri

Desakan berundur kesilapan daripada Muhyiddin sendiri

umno
AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Tindakan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) secara terbuka mendesak Tan Sri Muhyiddin Yassin meletak jawatan adalah berpunca daripada kesilapan Presiden Bersatu itu sendiri.

Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, segalanya bermula apabila Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang diletakkan sebagai Ketua Pembangkang dan kini lebih ke hadapan berbanding Muhyiddin.

Katanya, Muhyiddin perlu menonjol dan seharusnya mengambil kedudukan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat jika serius untuk menjadi calon Perdana Menteri seperti amalan kebanyakkan negara Parlimen Westminster.

“Muhyiddin seharusnya berani berdepan dengan Perdana Menteri yang mengetuai kerajaan.

“Membiarkan Hamzah mengambil posisi itu seolah-oleh memberi laluan kepada Hamzah dan gerakan dalam parti adalah sesuatu implikasi yang logical (masuk akal),” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu kecoh apabila beberapa individu melaungkan jeritan ‘Turun Tan Sri’ ketika Muhyiddin berucap mengenai individu cuba kutip tanda tangan bagi menjatuhkan Presiden.

Abdul Aziz berkata, kejadian itu melucukan kerana Muhyiddin sebelum ini pernah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meletakan jawatan pada Perhimpunan Turun Anwar di ibu negara.

“Nampaknya fenomena ‘Turun Anwar’ seolah-olah berlaku dalam Bersatu. Kutip tandatangan dan surat layang dijadikan mekanisme menjatuhkan Presiden, sepatutnya ikutlah Perlembagaan parti,” katanya.

Abdul Aziz berkata, senario itu memberi gambaran bahawa Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) tidak mempunyai calon Perdana Menteri bagi menyakinkan rakyat dan keadaan itu ditambah dengan kekeliruan berlaku dalam Pas.

“Dr. Sam (Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar) yang ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri pun tidak didukung oleh Pas dan Menteri Besar Terengganu itu hanya menonjolkan dirinya sendiri.

“Beliau juga sepatutnya memegang kedudukan sebagai Ketua Pembangkang sekiranya benar-benar ada kekuatan. Selain itu, Dr. Sam sekurang-kurangnya wajar jadi pimpinan kanan dalam Pas iaitu Timbalan Presiden parti,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN