CIMB Artober perkukuh ekosistem ekonomi kreatif negara - Utusan Malaysia

CIMB Artober perkukuh ekosistem ekonomi kreatif negara

TENGKU Zafrul Tengku Abdul Aziz (dua dari kiri) bersama Novan Amirudin (dua dari kanan) semasa pelancaran CIMB Artober Art & Soul x ASEAN Malaysia 2025 di sini hari ini. UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) melancarkan acara seni tahunan utamanya, CIMB Artober Art & Soul 2025 (CIMB Artober) yang kini memasuki edisi kelima dengan matlamat memperkukuh ekosistem ekonomi kreatif negara.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, industri kreatif memberikan nilai besar kepada ekonomi.

Beliau merujuk kepada kejayaan industri animasi di Indonesia, seperti Jumbo yang menjana hasil jutaan, sama seperti siri animasi popular Upin & Ipin.

“Untuk makluman, semasa Mesyuarat Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57, kita banyak berbincang mengenai industri hijau.

“Dalam perbincangan mengenai perjanjian perdagangan bebas pula, kita menekankan kepentingan menyokong industri kreatif kerana ia menyumbang besar kepada ekonomi,” katanya pada CIMB Artober Art & Soul x ASEAN Malaysia 2025 di sini hari ini.

Beliau berkata, program seperti ini bukan sahaja menyokong artis tempatan, malah memberi peluang kepada artis Asia.

“Saya berharap program ini dapat diteruskan kerana ia benar-benar memberikan impak positif kepada ekosistem seni Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, CIMB Group, Novan Amirudin berkata, Artober ialah berkenaan seni untuk semua dan memberi inspirasi untuk cara berfikir, mencabar mengambil pendirian dan mendorong kita untuk mengimaginasi semula dunia bukan hanya sekadar mewarisinya.

“Seni yang menguatkan suara yang kurang didengari, memupuk rasa empati dan mengukuhkan komuniti. Sama seperti seni, CIMB mengetengahkan diversiti dan memastikan semua meraih kecemerlangan.

“Matlamat kami ialah memperkasa pelanggan dan masyarakat, memupuk keterangkuman dan membawa lebih makna untuk masyarakat sekitar ASEAN. Sebab itulah Artober adalah lebih daripada sekadar pameran seni. la adalah platform inspirasi,” katanya.

Tahun ini, lebih 30 galeri dan lebih 100 karyawan menyertai program, termasuk Taksu, G13 Gallery, Art+ Contemporary, Galeri Sasha, O Sculpture Art Space dan Richard Koh Projects.

Antara tarikan utama edisi 2025 adalah pameran karya legenda Allahyarham Datuk Ibrahim Hussein daripada koleksi peribadi, pameran solo Prof. Zulkifli Yusoff (“Transparency”), Daud Rahim (“The Mirror Within, The Soul of My True Self”) dan Tan Kai Sheuan (“Nothing Exists Alone”).

Ia turut merangkumi Produk kraftangan Mah Meri Cultural Village dan Jabatan Penjara Malaysia dan Pahang Pavilion di bawah inisiatif Duli Yang Maha Mulia, Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menampilkan Songtik serta tekstil ikat dan pua karap dari Sarawak.

CIMB turut menganjurkan pameran seni dan fesyen menampilkan busana ikonik Aina Abdul rekaan pereka terkemuka Melinda Looi, serta sesi dialog seni bersama tokoh tempatan dan antarabangsa.

Dalam pada itu, satu pembidaan seni akan berlangsung pada 28 September 2025, dengan hasilnya disalurkan melalui Mercy Malaysia bagi membantu Gaza, mencerminkan komitmen CIMB terhadap pembangunan komuniti.

Seiring aspirasi digital, Artober tahun ini juga memperkenalkan katalog digital interaktif yang membolehkan pengumpul seni membayangkan karya dalam ruang kediaman mereka, menambah dimensi baharu dalam pengalaman seni. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN