ROMPIN: Dianggarkan terdapat 1.5 juta warga Indonesia bekerja secara sah di Malaysia, manakala kira-kira 1.2 juta lagi dipercayai bekerja atau menetap tanpa dokumen.
Situasi itu jelas menunjukkan sisi gelap penghijrahan tenaga kerja serantau.
Aktivis sosial Malaysia-Indonesia, Kamarulzaman Zainal Abidin, 65, berkata, mereka yang bekerja atau menetap tanpa dokumen sah, berdepan risiko besar termasuk tindakan penguatkuasaan yang bakal memusnahkan masa depan seluruh keluarga yang bergantung hidup.
Katanya, mereka juga sepatutnya berurusan terus dengan pihak berkuasa tanpa melalui orang tengah atau ‘calo’ yang sering mengambil kesempatan atas kesusahan pekerja tanpa dokumen.
“Risiko bekerja secara tidak sah sangat tinggi. Baru-baru ini, satu operasi besar-besaran di Kuala Lumpur menyaksikan hampir 350 warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen (JIM), termasuk kanak-kanak kecil yang tidak memahami apa yang sedang berlaku,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Kamarulzaman berkata, kebanyakan individu yang ditahan sudah menetap di Malaysia lebih 15 tahun, membina kehidupan, bekerja tetap dan menyara keluarga di kampung halaman.
“Selama ini mereka mampu mengirim sekitar RM1,500 sebulan kepada keluarga di Indonesia. Namun apabila ditangkap, semuanya terhenti serta-merta. Sumber pendapatan keluarga terputus dan masa depan menjadi gelap,” katanya.
Beliau berkata, individu yang ditahan akan ditempatkan di pusat tahanan imigresen antara tiga hingga enam bulan sebelum dihantar pulang ke negara asal, satu tempoh yang amat menekan emosi.
“Apabila pulang, mereka berdepan rasa malu kepada keluarga dan masyarakat di kampung. Hidup menjadi lebih sukar, penuh kekeliruan dan ketidakpastian, sedangkan mereka kembali tanpa simpanan dan pekerjaan,” ujarnya.
Tegasnya, warga Indonesia perlu mengelak berurusan dengan calo bagi memastikan mereka tidak terus menjadi mangsa akibat pilihan bekerja secara tidak sah dan eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab.
“Semua kos rasmi sudah dipaparkan di pejabat imigresen. Datang sendiri ke kaunter bersama individu yang jujur. Jangan terus hidup dalam ketakutan dan diperas oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Katanya, sekiranya diarahkan pulang, mereka perlu berbuat demikian melalui saluran yang sah dan bermaruah demi keselamatan diri serta masa depan keluarga.
“Saya berharap nasihat ini dapat membuka mata warga Indonesia di Malaysia agar tidak lagi terperangkap dalam kehidupan tanpa dokumen, sebaliknya memilih jalan yang sah demi maruah diri, keselamatan anak-anak dan kelangsungan hidup keluarga di kampung halaman,” katanya. – UTUSAN










