CIDB lihat keperluan tenaga nuklear dalam pembinaan fasiliti

CIDB lihat keperluan tenaga nuklear dalam pembinaan fasiliti

ALEXANDER Nanta Linggi melawat pameran sempena Hari Libat Urus Industri Pengurusan Fasiliti Sarawak di Kuching hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang dalam misi ke luar negara untuk melihat keperluan penjanaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga pada masa hadapan dalam bidang pembinaan fasiliti.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata ia merupakan sebahagian daripada pendekatan dinamik dan proaktif CIDB dalam membangunkan industri pembinaan negara.

“Sekarang pun CIDB sudah ada pergi ke luar negara untuk mempelajari dan mengetahui apa diperlukan dalam bidang pembinaan fasiliti yang mungkin ada kaitan dengan tenaga nuklear.

“Ini untuk tenaga elektrik dan sebagainya, bukan buat bom,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Libat Urus Industri Pengurusan Fasiliti Sarawak di sini, hari ini.

Selain itu, beliau berkata CIDB turut mengambil perhatian daripada elemen gempa bumi di Johor baru-baru ini, dalam komitmen membangunkan industri pembinaan pada masa depan.

“Kita tidak boleh ambil mudah sama ada gempa bumi, banjir atau sebagainya…sebab itu, CIDB sangat proaktif,” katanya.

Sementara itu, Alexander berkata tiada aset infrastruktur yang rosak akibat beberapa siri gempa bumi yang melanda kawasan daerah Segamat dan Yong Peng, Johor baru-baru ini.

“Ia masih dalam pemantauan kami namun tiada kerosakan infrastruktur termasuk jalan raya setakat ini,” katanya.

Segamat baru-baru ini merekodkan tiga kejadian gempa bumi lemah dengan magnitud antara 2.5 hingga 4.1 manakala satu lagi siri gegaran berukuran 3.4 magnitud berlaku di timur laut Segamat.

Sementara itu, Alexander berkata kontraktor di Sarawak mempunyai peluang besar untuk terlibat dalam pengurusan fasiliti (FM), memandangkan bilangan kontraktor dalam bidang berkenaan masih terlalu rendah ketika ini.

Menurutnya pada masa ini, terdapat hanya 17 sahaja kontraktor FM yang berdaftar di Sarawak, sekali gus meletakkan jurang yang ketara dengan kontraktor FM di Semenanjung Malaysia.

“Dari aspek pendaftaran kontraktor FM, kita masih berdepan jurang yang ketara. Daripada lebih 460 kontraktor FM berdaftar di seluruh Malaysia, hanya 17 sahaja kontraktor FM yang berdaftar di Sarawak,” katanya.

Menurutnya, Sarawak sedang rancak melaksanakan pelbagai projek pembangunan strategik, daripada Lebuhraya Pan Borneo, Sabah–Sarawak Link Road hinggalah aspirasi bandar pintar dan ekonomi hidrogen, sekali gus menjadikan Sarawak sebuah wilayah yang berpotensi besar menjadi perintis pengurusan fasiliti mampan di rantau Borneo.

Namun demikian, katanya tahap kesedaran dan penglibatan dalam pengurusan fasiliti di Malaysia khususnya di Sarawak masih perlu dipertingkatkan.

“Saya melihat ini bukan satu kelemahan tetapi satu peluang besar untuk melahirkan lebih ramai kontraktor tempatan berkemahiran tinggi dalam FM,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×