Cerita mistik artis K-Pop - Utusan Malaysia

Cerita mistik artis K-Pop

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DARI cerita hotel berhantu sampailah studio ‘berpenghuni’, artis K-Pop juga tidak asing dengan kejadian-kejadian mistik yang mereka alami.

Ada yang pernah dihimpit makhluk halus, mendengar bisikan, diganggu dalam bilik air dan bermacam lagi pengalaman yang mereka sendiri ceritakan kepada peminat.

Berikut empat bintang K-Pop menceritakan pengalaman mistik yang masih mereka ingati sampai ke hari ini.

TAEYANG

Dalam kalangan anggota Big Bang, Tae Yang salah satunya yang skeptikal terhadap perkara mistik, tidak mempercayai kewujudan hantu.

Namun kejadian menimpanya ketika dia dan ahli Big Bang lain bermalam di pejabat YG Entertainment telah mengubah persepsinya terhadap perkara mistik.

“Kejadian itu berlaku di waktu pagi ketika musim panas. Saya bangun lebih awal daripada orang lain.

“Dalam bersiap untuk mandi, saya terdengar bunyi komputer terbuka dengan sendirinya.

Kemudian pembesar suara mengeluarkan suara seorang lelaki bercakap sesuatu yang tidak saya fahami.

“Saya tidak mempedulikannya lantas masuk ke dalam bilik air untuk mandi. Tiba-tiba pintu bilik air dipulas-pulas seperti ada seseorang cuba membukanya. Tiba-tiba pintu itu ditendang.

“Saya tergamam selama beberapa saat. Apabila membuka pintu, saya dapati rakan-rakan lain masih tidur, tidak ada seorang pun bangun ketika itu,” ceritanya.

LISA

Idol berusia 28 tahun ini melalui banyak pengalaman paranormal.

Antara kisah yang diceritakan Lisa adalah pengalaman seram ketika menginap di sebuah hotel berhantu yang dirahsiakan lokasinya.

“Gangguan berlaku ketika saya hendak tidur, bermula dengan bunyi ketukan pada almari.

“Saya cuba buka mata namun gagal. Seperti ada sesuatu yang menindih badan saya sehingga membuatkan saya tidak dapat bergerak.

“Tambah menyeramkan apabila tiba-tiba kedengaran suara halus seperti seseorang sedang ketawa dan berbisik ke telinga saya.

“Selepas beberapa minit, saya berjaya gerakkan badan dan segera keluar bilik dan tidur di ruang tamu,” ujarnya.

SIN B

Anggota kumpulan Viviz ini berkongsi mengenai entiti yang sering menjelma di dalam studio latihan ketika dia menganggotai kumpulan GFriend 10 tahun lalu

Malah, kongsi Sin B atau Hwang Eun Bi, lebih menyeramkan lagi apabila entiti berkenaan sering menjelma sebagai dirinya untuk mengelirukan rakan-rakannya yang lain.

“Kawan-kawan saya berkata, mereka nampak kelibat saya walaupun hakikatnya saya tidak berada di tempat tersebut.

“Ramai yang mengalami perkara ini, termasuklah cikgu tarian kami,” katanya

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN